Lelaki Dari China Terkejut Rawatan Klinik Kerajaan Malaysia Sangat Murah

Seorang lelaki dari China terkejut selepas mendapatkan rawatan di klinik kerajaan di Malaysia bagi ibu jarinya yang berdarah. Hal ini kerana, jumlah keseluruhan untuk konsultasi, balutan dan ubat hanyalah RM1!

Segalanya bermula apabila Lelaki itu secara tidak sengaja telah melukakan ibu jarinya dengan alat pemotong sayur.

Walaupun telah cuba menghentikan pendarahan, darah masih mengalir selama beberapa jam, dan akhirnya dia bergegas ke klinik kerajaan terdekat untuk mendapatkan rawatan.

Dia menyangka akan menerima bil perubatan yang mahal, namun terkejut apabila kakitangan klinik merawatnya dengan segera, membalut lukanya dengan teliti, memberikan ubat dan hanya meminta bayaran sebanyak RM1.

Dia kemudian berkongsi pengalaman itu di platform Xiaohongshu dengan menyifatkannya sebagai satu pengalaman yang hangat dan menyentuh hati.

Dia mengakui berasa gementar pada mulanya, namun kakitangan klinik sangat pantas, profesional dan prihatin.

Apa yang lebih menghiburkan, katanya, ialah cara jururawat membalut ibu jarinya dengan begitu kemas dan comel, sehingga membuatkan dia ketawa walaupun sedang menahan sakit.

Apa yang lebih mengagumkannya lagi, walaupun dia bukan warganegara Malaysia, dia tetap dilayan dengan penuh mesra dan cekap.

Di ruangan komen, dia menjelaskan bahawa walaupun dia berasal dari China, isterinya merupakan warganegara Malaysia berbangsa Cina. Sebagai pasangan, dia juga layak menerima rawatan kesihatan awam.

Tambahnya lagi, ini bukan kali pertama dia mendapatkan rawatan di klinik kerajaan, dan setiap kali berbuat demikian, dia berasa dihargai dan tenang.

“Walaupun bayaran sangat rendah, kakitangan tetap memberikan yang terbaik dan melayan semua orang dengan adil,” tulisnya.

Related post

Leave a Reply