KRU Cetak Sejarah Baharu, Umum Konsert Ke-5 Dalam Setahun

KRU Cetak Sejarah Baharu, Umum Konsert Ke-5 Dalam Setahun

Kumpulan KRU sekali lagi mencetak sejarah baharu apabila mengumumkan bakal mengadakan satu lagi konsert berskala besar sebelum 2025 menutup tirai selain menjadi simbolik penguasaan mereka kepada industri muzik tanah air.

Pada Isnin, Icon Entertainment sekali penganjur mengumumkan kumpulan ini kembali dengan genKRU The Finale One More Time yang dijadual berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 22 November hadapan.

Ini merupakan penganjuran kelima yang diadakan pada tahun ini selepas empat konsert yang diadakan di Axiata Arena Bukit Jalil mencatat sejarah terhebat industri muzik tempatan.

Lebih mengujakan penganjuran genKRU The Finale One More Time adalah atas maklum balas yang cukup memberangsangkan dalam kalangan peminat selain penaja yang sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama.

“ICON Entertainment ingin mengumumkan genKRU The Finale One More Time akan dianjurkan di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 22 November 2025.

“Benar, kami telah ‘berhari raya’ selama empat hari sebelum ini dan tidak salah rasanya konsert ini dilakukan sekali lagi. Semua ini dilakukan atas permintaan peminat yang melihat KRU beraksi dalam sebuah konsert berskala besar.

“Sejak penganjuran pada bulan Mei, Icon Entertainment terus ‘didesak’ untuk membawa KRU kembali ke pentas,” kata Iman Tang yang juga merupakan orang nombor satu Icon Entertainment. 

Iman menyifatkan penganjuran konsert di Malaysia sudah mula mengikut rentak trend penganjuran global dan ia adalah satu perkembangan yang positif.

“Jika kita lihat trend penganjuran konsert global sekarang banyak melebihi satu hari. Malah ada sehingga seminggu.

“Trend itu kini mula mengalir dalam penganjuran konsert di Malaysia. Bukan hanya Icon Entertainment tetapi rakan penganjur lain juga dengan senang hati menambah penganjuran konsert apabila menerima permintaan tinggi.

“Trend penganjuran ‘berhari-hari’ ini membuktikan betapa industri hiburan Malaysia kini berada pada tahap yang baik sementelah ada permintaan dan dilunaskan oleh penganjur.

“Buktinya penganjuran genKRU The Finale One More Time. Bagaimana ia boleh tercetus? Kerana terdapat permintaan yang tinggi,” kata Iman lagi.

KRU bakal menggegarkan Stadium Hoki Bukit Jalil pada 22 November hadapan.

Sementara itu, KRU menyifatkan penganjuran konsert kali kelima ini sebagai inisiatif yang baik dan menunjukkan industri hiburan yang sihat.

“Sejujurnya, KRU tidak pernah terfikir akan ada hari kedua, ketiga, apa lagi sehingga kelima dengan genKRU The Finale One More Time.

“Namun kami melihat ia sebagai tanda yang baik, yang positif dan bukti bahawa pemuzik lokal tidak pernah menjadi anak tiri dalam penganjuran konsert.

“Memikirkan tentang impak positif itu KRU bersetuju dengan penganjuran genKRU The Finale One More Time kerana kami mahu rakan penganjur, calon penaja dan rakan pemuzik lainnya tidak takut kerana kita yang menjadi gamechangers kepada industri sendiri,” ujar Norman mewakili KRU.

Konsert genKRU yang pada awalnya direncana satu hari iaitu 25 Mei 2025 telah berlangsung dengan sangat berjaya sehingga ia dilanjutkan menjadi empat hari.

Menerusi penganjuran empat hari yang ‘full house’, konsert ini telah mencatat dua rekod dalam Malaysia Book of Records (MBR) sebagai “Most Show in a Single Concert Series” dan “Most Concert Tickets Sold Out in an Hour”.

Tiket-tiket untuk menyaksikan genKRU The dijual bermula 3 Oktober dengan harga RM188, RM288, RM238, RM268, RM318, RM358, RM488 dan RM588.

Related post

Leave a Reply