Keith Foo Belum Sedia Ulas Dakwaan Sudah Peluk Islam

Pelakon, Keith Foo, 43, memilih untuk tidak mengulas lanjut dakwaan kononnya sudah memeluk Islam, sebaliknya menganggap perkara itu sebagai urusan peribadi yang tidak perlu diumumkan kepada umum.
Menurut Keith, dia lebih selesa membiarkan segala spekulasi berkaitan dirinya dan kekasih, aktres Riena Diana, terjawab dengan sendirinya tanpa sebarang kenyataan rasmi.
“Kita tengok sahaja apa yang akan berlaku hujung tahun ini. Buat masa sekarang, kami saling melengkapi dan menyokong antara satu sama lain, terutama dari segi kerjaya.
“Perkara seperti ini datang dari hati. Jadi biarlah ia diketahui secara semula jadi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Keith mengakui dirinya masih dalam proses mempelajari agama Islam dan tidak merasakan keperluan untuk membuat sebarang pengumuman.
“Saya masih belajar. Ada perkara yang saya tak tahu dan Riena akan tunjuk ajar. Kami membesar dengan agama masing-masing, jadi proses itu mengambil masa.
“Dalam keluarga saya pun sudah ada tiga mualaf, jadi perkara ini bukan sesuatu yang asing,” jelasnya lagi.
Mengulas apa yang menarik perhatiannya terhadap Islam, Keith berkata agama itu memberinya rasa ketenangan.
“Saya suka ketenangan yang ada. Dalam apa jua keadaan, baik atau buruk, kita diajar untuk bersyukur. Islam tidak memaksa, sebaliknya membantu kita melihat diri sendiri untuk jadi lebih baik,” katanya.
Keith juga teruja menyambut Ramadan dan berhasrat untuk berpuasa penuh tahun ini.
“Tahun lepas saya berpuasa dengan Riena walaupun ketika itu ayah saya meninggal dunia. Dia sentiasa ada dengan saya. Jadi tahun ini, saya akan cuba puasa penuh,” ujar bapa satu anak itu lagi.



