
Jutaan pengguna iPhone dan iPad kini berisiko menjadi mangsa serangan siber yang menyasarkan maklumat kewangan susulan satu kelemahan keselamatan dalam sistem Apple.
Gergasi teknologi itu baru-baru ini mengesahkan kewujudan dua kelemahan kritikal dalam WebKit, iaitu enjin pelayar yang menggerakkan Safari dan semua pelayar iOS.
Fox News melaporkan kelemahan ini sedang dieksploitasi dalam serangan yang amat canggih dan membolehkan laman web berniat jahat memperdaya peranti Apple untuk menjalankan kod berbahaya.
Sebaik sahaja kod tersebut dijalankan, penyerang boleh mengawal peranti yang terjejas dan mencuri kata laluan atau maklumat pembayaran pengguna.
Apple telah mengeluarkan tampalan keselamatan dalam kemas kini perisian terbaharu, namun dianggarkan hampir separuh daripada pengguna Apple masih belum memasangnya.
Tampalan itu disertakan dalam iOS 26, tetapi Fox News melaporkan hampir 800 juta peranti masih berisiko terdedah.
Berikut ialah senarai model yang paling berisiko diserang:
– iPhone 11 dan ke atas
– iPad Pro 12.9 inci generasi ke-3 dan ke atas
– iPad Pro 11 inci generasi pertama dan ke atas
– iPad Air generasi ke-3 dan ke atas
– iPad generasi ke-8 dan ke atas
– iPad mini generasi ke-5 dan ke atas
Satu-satunya penyelesaian ialah dengan mengemas kini perisian peranti.
Pengguna yang masih menggunakan iOS 18 dinasihatkan supaya segera mengemas kini peranti mereka dengan mengikuti langkah berikut, menurut Apple:
“Pergi ke Settings > General > Software Update. Jika iPhone anda tidak menjalankan iOS 26.2 atau iOS 18.7.3, pergi ke Settings > General > Shut Down dan matikan peranti. Atau tekan dan tahan salah satu butang volum serta butang sisi sehingga peluncur kuasa muncul.”
“Jika cara itu tidak berjaya, anda boleh memaksa peranti untuk dimulakan semula,” jelas Apple.
Apple turut mengesyorkan pengguna agar sentiasa mengemas kini peranti mereka secara berkala bagi mengekalkan keselamatan produk Apple.



