
Penyanyi muda, Thalita Zahra, 13, memilih untuk tidak melatah susulan kecaman hebat dilemparkan terhadapnya berhubung isu pakaian seksi ketika menghadiri majlis ‘gender reveal’ ibu tirinya, baru-baru ini.
Pemilik nama sebenar Dzahira Talita Zahra Shahmira sebaliknya menjadikan kontroversi itu sebagai satu pengajaran berharga dalam perjalanan hidupnya.
Thalita mengakui dia berhati-hati untuk mengulas lanjut isu berkenaan kerana bimbang tersalah bicara. Namun, menerima setiap teguran yang diberikan dengan hati terbuka.
“Untuk isu tersebut sebenarnya saya takut mahu ulas kerana risau tersalah cakap. Namun saya ambil sebagai iktibar dan berterima kasih kepada semua yang menegur.
“Saya masih remaja dan sedang belajar untuk menjadi lebih baik. Insya-Allah doakan saya supaya dapat berpakaian lebih sopan dan bertudung suatu hari nanti,” katanya.
Sementara itu, bapanya yang juga pelawak, Shuib menegaskan perkara seumpama itu tidak akan berulang lagi dan mengakui sangat mengambil berat tentang penampilan anak perempuannya.
“Insya-Allah perkara sebegitu tidak akan berulang. Sebagai ayah, sudah tentu saya sangat ambil berat. Pada hari kejadian juga saya sudah menegur. Mungkin orang nampak saya jenis lembut, tetapi tindakan selepas itu tegas,” kata Shuib.
Dalam pada itu, ibu tirinya, Watie Hanifiah turut tampil bertanggungjawab apabila memaklumkan dialah yang menguruskan busana Thalita pada hari berkenaan dan mengakui mengambil iktibar atas kekhilafan yang berlaku.
“Daddy menegur sebaik tiba di lokasi kerana terkejut melihat pakaian tersebut. Teguran dibuat secara lembut kerana kami berada di acara dan tidak mahu mencetuskan suasana kurang selesa.
“Apabila pulang ke rumah, Shuib menyatakan dia tidak mahu Thalita memakai rekaan seperti itu lagi. Ketika berdua dengan Thalita, saya sampaikan teguran daddy tentang pakaiannya. Kami semua mengambil iktibar daripada kejadian tersebut,” jelasnya.
Terdahulu, Thalita mencuri perhatian ramai apabila tampil mengenakan gaun labuh rona merah jambu berpotongan off-shoulder ketika menghadiri majlis ‘gender reveal’.



