Isu ‘Gender Reveal’ Depan Kaabah, Neera Azizi Mohon Maaf

Isu ‘Gender Reveal’ Depan Kaabah, Neera Azizi Mohon Maaf

Pelakon dan penyampai radio, Neera Azizi, 27, tampil memohon maaf susulan kontroversi video pendedahan jantina bayi yang dirakam di hadapan Kaabah, baru-baru ini.

Pemilik nama sebenar Nurazneera Azizi berkata, rakaman tersebut dibuat atas dasar kesyukuran terhadap rezeki dikurniakan Allah tanpa menyedari perbuatan itu boleh menimbulkan salah faham dan dianggap kurang sesuai oleh sebahagian masyarakat.

Menurutnya, niat asal video berkenaan bukan untuk meraih perhatian atau mencetuskan sensasi, sebaliknya sekadar meraikan fasa baharu dalam kehidupannya sebagai seorang bakal ibu.

“Dengan penuh rasa rendah hati, saya ingin memohon maaf atas isu yang tercetus. Video tersebut dirakam sebagai tanda syukur atas kurniaan Allah SWT, tanpa sebarang niat lain.

“Saya akui, tanpa disedari, cara tersebut dilihat kurang beradab. Saya tidak berniat sama sekali untuk mempertahankan kesalahan atau menormalisasikan perkara itu,” jelasnya dalam sebuah hantaran.

Dalam pada itu, Neera berkata dia menerima setiap teguran yang dilemparkan kepadanya dengan hati terbuka dan menganggapnya sebagai peringatan yang baik untuk memperbaiki diri.

“Saya berterima kasih atas segala teguran yang diberikan. Insya-Allah, kekhilafan ini tidak akan berulang dan menjadi pengajaran berharga buat saya,” katanya.

Neera turut menegaskan bahawa isu berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana agensi pelancongan, sebaliknya berpunca sepenuhnya daripada kekhilafan peribadi.

Mengakhiri penjelasan, Neera mengakui dirinya sebagai manusia biasa yang tidak terlepas daripada kesilapan dan berharap agar diberi ruang untuk memperbaiki diri.

“Saya hanyalah manusia biasa yang masih belajar. Semoga Allah SWT mengampuni kita semua,” katanya.

Terdahulu, video pendedahan jantina bayi yang dikongsikan Neera mencetuskan kritikan apabila segelintir netizen berpendapat lokasi suci seperti Kaabah tidak wajar dijadikan tempat meraikan momen peribadi.

Susulan kecaman yang diterima, video asal tersebut telah dipadamkan daripada media sosialnya.

Untuk rekod, Neera mendirikan rumah tangga bersama Ahmad Hafizi Mohd Noor pada 1 Julai lalu dan kini sedang menanti kelahiran cahaya mata sulung perempuan yang dijangka pada April tahun hadapan.

Related post

Leave a Reply