BeritaLakon Layar

Isu Gangguan Seksual, PROFIMA Cadang Senarai Hitam Individu Bersalah

Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) bertegas tidak akan berkompromi terhadap sebarang dakwaan gangguan seksual atau perlakuan tidak beretika dalam industri perfileman tanah air.

Presidennya, Khalil Salleh berkata, PROFIMA mengamalkan dasar sifar toleransi terhadap sebarang salah laku di lokasi penggambaran dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas, termasuk mencadangkan penyenaraian hitam terhadap individu yang didapati bersalah.

“Kami tidak mempunyai sebarang toleransi terhadap perlakuan seperti ini. PROFIMA menggesa semua ahli serta pekerja industri yang teraniaya supaya tampil membuat aduan rasmi.

“Kami mempunyai prosedur operasi standard (SOP) sendiri untuk menangani isu sebegini dan sekiranya terbukti bersalah, individu terbabit boleh dicadangkan untuk disenarai hitam.

“Setakat ini, kami belum menerima kes melibatkan ahli PROFIMA, namun jika berlaku, tindakan akan diambil tanpa mengira jawatan, sama ada pengarah atau penerbit,” katanya.

Dalam masa sama, Khalil turut menggesa organisasi lain dalam industri perfileman agar mengambil pendirian serupa bagi memastikan setiap aduan gangguan seksual ditangani secara serius dan berintegriti.

“Kami berharap organisasi lain termasuk Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS) dan stesen televisyen (TV) turut mengambil langkah tegas.

“Sekiranya menerima aduan, sama ada bertulis atau tidak bertulis tetapi berasas, ia perlu disalurkan untuk tindakan lanjut.

“Sama ada seseorang itu bersalah atau tidak, ia ditentukan oleh pihak berkuasa. Namun apabila ada aduan, semua pihak mempunyai tanggungjawab untuk bertindak,” jelasnya lagi.

Menurut Khalil, perubahan landskap kerja di lokasi penggambaran ketika ini menuntut tahap profesionalisme yang lebih tinggi daripada semua pihak yang terlibat.

“Semua pihak perlu mengetahui batas dan hak masing-masing. Cara bekerja di lokasi penggambaran sekarang sangat berbeza berbanding dahulu.

“Tempoh penggambaran semakin singkat, kos terhad dan semua orang perlu bergerak pantas. Justeru, tidak ada lagi ruang untuk tingkah laku tidak beretika atau mengambil kesempatan ke atas orang lain,” tegasnya.

Selain itu, Khalil memaklumkan PROFIMA bukan asing dengan aduan seumpama itu dan pernah menerima laporan sebelum ini, sebelum tindakan diambil mengikut SOP yang ditetapkan.

“Dalam kalangan pekerja filem, isu ini memang pernah berlaku. Kami pernah menerima aduan dan segera memaklumkannya kepada wakil persatuan individu terlibat.

“Persatuan berkenaan telah mengambil tindakan, namun pengadu memilih untuk tidak meneruskan kes tersebut. Ini membuktikan isu gangguan seksual bukan perkara baharu dalam industri,” katanya.

Mengulas lanjut, Khalil menjelaskan gangguan seksual tidak terhad kepada perlakuan fizikal semata-mata, sebaliknya merangkumi pelbagai bentuk lain yang boleh menjejaskan emosi dan tumpuan kerja seseorang.

“Gangguan seksual boleh berlaku melalui kata-kata, mesej tidak senonoh atau tingkah laku yang mengganggu. Semua ini termasuk dalam kategori gangguan seksual.

“Walaupun hanya melibatkan satu mesej yang tidak wajar, pekerja tetap berhak membuat aduan. Setiap individu perlu tahu hak mereka dan berani tampil melaporkan salah laku, tanpa mengira status atau nama besar individu terbabit,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Related Articles

Back to top button