MusicTrending

Iskandar Ismail Juara GV12, Bolot RM100,000

Penyanyi Iskandar Ismail menepati ramalan ramai apabila dinobatkan sebagai juara Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) pada konsert akhir yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), malam Ahad.

Kejayaan itu melayakkan Iskandar membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM100,000 berserta trofi kemenangan.

Pada persembahan final, Iskandar memukau penonton dan juri menerusi lagu Madah Berhelah nyanyian asal Ziana Zain bagi pusingan solo.

Dia kemudiannya bergandingan dengan Jaclyn Victor untuk pusingan duet menerusi lagu Senja Nan Merah nyanyian asal Awie dan Ziana Zain.

Penyanyi kelahiran Singapura itu turut meluahkan rasa syukur dan terharu atas kemenangan yang diraih, selain merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang banyak menyokong perjalanan seninya sepanjang program tersebut.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua juri. Jangan kita saling membenci. Terima kasih kepada pasukan Gegar Vaganza kerana memberi saya peluang. Terima kasih juga kepada peminat, keluarga dan isteri tercinta,” katanya.

Sementara itu, trio Mendua berjaya meraih tempat kedua dan membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000, manakala Nubhan pula berada di tempat ketiga dengan hadiah RM30,000.

Mark Adam dan Mell Sakura masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 dan RM15,000.

Sementara itu, Ruri Repvblik diumumkan sebagai pemenang tempat keenam dengan hadiah wang tunai RM10,000.

Gegar Vaganza musim ke-12 dihoskan oleh gandingan Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad, dengan barisan juri profesional terdiri daripada Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat.

Related Articles

Back to top button