
Fauziah Nawi Tak Selesa Dipanggil ‘Makcik’, Lebih Suka Gelaran ‘Auntie’
Seniwati terkenal, Datuk Fauziah Nawi meluahkan rasa kurang senang apabila ada yang memanggilnya dengan panggilan makcik.
Menurut Fauziah, gelaran tersebut tidak pernah menjadi pilihannya, malah lebih selesa dan menganggap panggilan auntie kedengaran lebih bergaya
“Kalau orang panggil saya makcik, memang saya tak akan layan. Sumpah, saya pantang dengan panggilan itu. Tapi kalau auntie, saya okey.
“Arwah mak saya dulu selalu kata dua-dua sama saja, tapi bagi saya auntie ada ‘style’, manakala makcik pula terbayang orang makan sireh,” katanya ketika di sebuah sesi uji bakat baru-baru ini.
Fauziah turut berkongsi pengalaman peribadi ketika dipanggil makcik sewaktu membeli-belah.
“Contohnya kalau saya tengah pilih barang murah, tiba-tiba ada orang tegur saya dengan panggilan makcik, saya akan terus letak balik barang tu dan keluar dari kedai. Memang tak jadi nak beli,” katanya.
Menariknya, meskipun tidak gemar dengan panggilan makcik, Fauziah mengakui tidak kisah sekiranya ada yang menyapanya dengan gelaran yang lebih berusia.
“Kalau nak panggil saya nenek pun, saya okey saja,” ujarnya sambil berseloroh.