Empat Laporan Polis Dibuat, Uqasha Uqasha Dakwa Didera Sepanjang Perkahwinan
Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Khamis mencadangkan agar pelakon Kamal Adli melafazkan cerai terhadap isterinya, Uqasha Senrose susulan kegagalan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang dijalankan sebelum ini.
Bagaimanapun, cadangan tersebut tidak dilaksanakan apabila pihak defendan iaitu Kamal masih berhasrat untuk mempertahankan rumah tangga mereka.
Peguam yang mewakili Uqasha, Muhammad Syazmee Sapian memaklumkan laporan JKP berkenaan menemui jalan buntu, sekali gus membawa mahkamah mencadangkan lafaz talak satu.
Namun Kamal tidak bersetuju, menyebabkan kes berkenaan diteruskan ke peringkat seterusnya iaitu prosiding hakam yang dijadualkan pada 12 Januari.
Dalam perkembangan sama, mahkamah turut mendapati wujudnya shiqaq atau perbalahan berpanjangan dalam perkahwinan pasangan selebriti tersebut.
Menurut Syazmee, laporan JKP yang dikemukakan mengandungi perincian pelbagai isu termasuk dakwaan kekasaran rumah tangga dan kegagalan memberi nafkah.
“Mahkamah meneliti laporan itu secara menyeluruh dan mengambil kira semua faktor sebelum memutuskan bahawa shiqaq sememangnya wujud dalam perkahwinan mereka,” katanya selepas prosiding laporan JKP.
Dalam pada itu, Uqasha tampil mendedahkan dakwaan keganasan rumah tangga yang didakwa menjadi punca utama dia nekad memfailkan perceraian terhadap Kamal.
Menurutnya, penderaan tersebut telah berlarutan sepanjang empat tahun perkahwinan mereka, termasuk ketika hamil sehingga selepas kelahiran cahaya mata.
“Saya cuba bertahan. Kalau dia naik tangan, naik kaki, maki, tengking, kasar tolak badan, saya boleh terima. Tapi bila ada anak, perangai itu masih sama. Dalam keadaan mengandung pun saya dikasari,” katanya.
Uqasha juga mendakwa pernah ditarik rambut dan ditolak ketika sarat hamil tujuh bulan, selain mengalami tekanan mental yang berpanjangan.
Menurutnya, keputusan untuk memohon cerai dibuat demi kebajikan anak mereka serta kesihatan mentalnya sendiri.
“Perempuan tak akan minta cerai kalau tiada sebab yang munasabah. Demi anak yang masih kecil dan melihat ibunya ditengking, saya teruskan juga permohonan cerai,” jelasnya.
Uqasha yang ditemani peguam syarie, Muhammad Syazmee Sapian berkata, dia memilih untuk berdiam diri sebelum ini bagi menjaga aib kedua-dua pihak memandangkan mereka merupakan figura awam.
Dakwaannya juga pernah memaklumkan isu tersebut kepada pihak keluarga mentua, namun dia dinasihatkan supaya terus bersabar.
Sementara itu, peguam sivil yang mewakili Uqasha, Asheeq Ali Seth Alivi memaklumkan anak guamnya telah membuat empat laporan polis berhubung dakwaan keganasan rumah tangga sejak awal Disember lalu. Tiga laporan dibuat oleh Uqasha sendiri manakala satu lagi oleh ibunya.
“Semua laporan melibatkan aduan bahawa Uqasha telah didera dan dipukul. Untuk tindakan seterusnya, kita serahkan kepada pihak polis menjalankan siasatan melalui saluran undang-undang,” katanya.
Untuk rekod, Kamal Adli dan Uqasha Senrose mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang, dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira.
Uqasha sebelum ini memfailkan permohonan cerai pada 1 Oktober lalu atas alasan tiada persefahaman serta masalah rumah tangga yang dikatakan berlaku sejak April 2025.
