
Penyanyi dan pengacara, Elly Mazlein, 45, mendedahkan pernah menolak tawaran kerja bernilai RM500,000 gara-gara syarat yang dikenakan memintanya membuka tudung bagi tujuan promosi sebuah produk.
Pemilik nama sebenar Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, menegaskan dia tidak akan sesekali mengorbankan prinsip hidupnya selepas membuat keputusan untuk tampil berhijab.
“Saya dapat satu tawaran masa mula-mula berhijab dulu. Memang lumayan, sampai setengah juta ringgit, tetapi syaratnya saya perlu buka tudung.
“Selepas saya buat keputusan untuk berhijab, walaupun dibayar macam mana sekali pun, saya tetap dengan keputusan saya,” katanya.
Jelas Elly, pihak berkenaan tetap mengemukakan tawaran tersebut meskipun sedia maklum mengenai statusnya sebagai wanita bertudung.
Susulan itu, pelantun lagu Sabarlah Hati ini memilih untuk menolak peluang berkenaan secara berhemah bagi mengelakkan sebarang salah faham.
“Mereka tahu saya sudah bertudung, sebab itu mereka letak harga setengah juta. Tapi saya beritahu saya tidak dapat bekerjasama kalau perlu buka tudung.
“Sekiranya mereka mahu saya jadi duta, prinsip saya tetap akan memakai tudung. Saya percaya akan ada rezeki untuk saya ditempat lain.
“Alhamdulillah, mereka terima keputusan saya selepas menolaknya secara berhemah,” tuturnya lagi.
Dalam pada itu, Elly turut menitipkan pesanan kepada syarikat atau jenama agar tidak memandang rendah keupayaan wanita berhijab sebagai duta produk.
“Tidak salah kalau pilih duta yang bertudung. Rezeki saya mungkin bukan di situ, tapi Allah gantikan dengan yang lain. Paling penting sekarang saya kekal dengan prinsip saya untuk terus berhijab,” luahnya.



