
Seorang lelaki Thailand berusia 70 tahun ditemui mati di sebuah rumah di wilayah Lopburi pada 16 November lalu selepas didakwa mengambil bahagian dalam sesi seks bertiga yang dipengaruhi dadah bersama dua lelaki lain.
Pegawai Polis dari Balai Polis Mueang Lop Buri menerima panggilan sekitar 10.28 malam dan setibanya di tempat kejadian, lelaki itu didapati terbaring tanpa berpakaian serta tidak memberi respons di atas sofa di ruang tamu.
Polis berkata, tiada tanda kecederaan fizikal ditemui kecuali gigitan serangga dan menganggarkan dia telah meninggal dunia tiga hingga empat jam sebelum mereka tiba.
Menurut siasatan, pemilik rumah berusia 52 tahun memberitahu polis dia telah menjemput mangsa, yang datang dari Ayutthaya, untuk menyertai dia dan seorang lagi lelaki berusia 38 tahun bagi melakukan seks berkumpulan di kediamannya.
Dia mengaku yang ketiga-tiga mereka didakwa mengambil bahan terlarang semasa pertemuan tersebut.
Pemilik rumah itu mendakwa, selepas mereka tertidur, dia dan lelaki yang lebih muda itu bangun keesokan pagi, meneruskan aktiviti seksual, dan kemudian menyedari lelaki warga emas itu tidak lagi bernafas dengan semut merayap di seluruh tubuhnya yang bogel.
Pemeriksaan polis di rumah tersebut menemukan syabu, jarum suntikan, peralatan mengambil dadah, serta kondom terpakai.
Polis turut meneliti rakaman CCTV dari rumah itu yang dilaporkan menunjukkan ketiga-tiga lelaki tersebut sedang menyuntik dadah.
Bagaimanapun, pihak penyiasat berkata, terdapat percanggahan dalam kenyataan yang diberikan oleh dua lelaki yang masih hidup itu, menyebabkan siasatan lanjut dijalankan.
Mayat mangsa telah dihantar ke Institut Perubatan Forensik di Hospital Besar Polis di Bangkok untuk bedah siasat penuh bagi menentukan punca sebenar kematian.
Polis berkata kes itu masih dalam siasatan, menunggu keputusan toksikologi dan temu bual tambahan.
Sumber: Agensi



