
Dana STAR Terima Sambutan Luar Biasa
Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac, 54, mendedahkan Dana Supertelefilem Bintang Veteran (STAR) yang diperkenalkan baru-baru ini menerima sambutan luar biasa daripada penerbit tempatan.
Hans berkata, projek rintis berkenaan kini berada pada fasa ‘pitching’ dan sedang dinilai oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk meneliti syarikat penerbitan paling sesuai.
“Selepas proses penilaian selesai, barulah syarikat penerbit terpilih akan diumumkan. Saya sendiri tidak tahu siapa yang akan dipilih kerana saya tidak terbabit dalam proses itu. Semuanya di bawah bidang kuasa jawatankuasa yang dilantik,” katanya.
Dana STAR diperkenalkan bagi memberi peluang penggiat seni veteran menjana pendapatan dengan syarat sekurang-kurangnya 60 peratus tenaga kerja terdiri daripada individu berusia 55 tahun ke atas.
Selain itu, pelakon utama dan pembantu juga perlu diisi oleh barisan pelakon berstatus veteran.
Hans menjelaskan, beliau cukup teruja dengan inisiatif ini kerana ia merupakan projek percubaan pertama.
“Kalau percubaan ini membuahkan hasil, tidak mustahil tahun depan kita akan tambah lagi peruntukan serta bilangan projek di bawah STAR.
“Kami juga sudah berbincang dengan persatuan industri agar penerbit memberi jaminan bayaran kepada artis, kru dan semua tenaga kerja.
“Tidak boleh ada isu tunggakan atau gagal bayar. Setiap transaksi mesti ada bukti dan rekod jelas,” katanya.
Menurutnya lagi, FINAS mahu memastikan ketelusan penuh, sekali gus mengelakkan sebarang manipulasi dokumen.
“Tidak boleh hanya tunjuk baucer dengan tandatangan tanpa angka yang jelas. Pasukan kami akan memantau setiap dokumen untuk memastikan semuanya telus,” ujarnya.