Alieff terkejut tewaskan Sofyank

KUALA LUMPUR: Melihat nama Sofyank tersenarai dalam kelompok Top 5 bagi kategori Content Creator Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 membuatkan YouTuber, Alieff Irfan tidak menyimpan harapan untuk menang.

Alieff terkejut, pada masa sama, bersyukur apabila rezeki berpihak kepadanya apabila diumumkan sebagai pemenang trofi Content Creator Popular, ABPBH 35 pada malam kemuncak yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, baru-baru ini.

Lantas, Alieff yang membangunkan saluran YouTube sejak 2016 itu menyifatkan pencapaiannya mengalahkan Sofyank adalah rezeki anak kembarnya yang lahir pada September tahun lalu.

“Saya rasa kemenangan ini adalah rezeki anak. Saya baru menimang cahaya mata kembar pada September tahun lalu, Alhamdulillah.”

Alieff

“Jujurnya, saya langsung tidak menjangkakan kemenangan ini kerana saya pernah tewas di tangan Aqil Zulkiflee menerusi kategori YouTuber Popular, ABPBH 34.

“Tahun ini, saya tengok dalam kelompok Top 5, ada Sofyank yang berjaya pada peringkat antarabangsa dan idola ramai. Saya berasakan Sofyank adalah pesaing terhebat.

“Jadi, saya tidak meletakkan harapan tinggi dan bila saya tahu menang, memang terkejut. Saya sifatkan semua ini adalah rezeki,” katanya kepada BH Online.

Jejaka berusia 26 tahun berasal dari Pasir Mas, Kelantan itu tidak hanya menewaskan Sofyank, tetapi juga pencipta kandungan Arieff Yong, DD Chronicle dan Qawiyaro.

Alieff mula aktif menghasilkan video sejak 2016 dan kini membangunkan salurannya bersama 33 pekerja.

Akui Alieff, kejayaannya itu juga berkat usaha dan kesungguhan pasukannya menghasilkan kandungan terbaik.

“Selain keluarga yang menyokong mencari rezeki, kekuatan saya adalah pasukan.

“Saya bermula pada 2016 bukannya dengan usaha yang mudah, saya bergelut dengan pelbagai perkara.

“Tetapi, saya percaya ini sahaja jalan saya untuk mencari rezeki. Jadi, kalau tak boleh tidur, saya kena teruskan juga sebab saya percaya ini lubuk rezeki saya,” katanya.

Alieff atau nama sebenarnya, Muhd Aliff Irfan Aziki bersyukur dapat membuktikan pada masyarakat menjadi pencipta kandungan mampu berjaya dan menjana pendapatan lumayan.

“Saya tak nafikan, ada yang ragu-ragu apabila saya memulakan kerja ini, tetapi sekarang ramai sudah tahu pencipta kandungan mampu berjaya.

“Saya tidaklah mengatakan saya kaya, sebaliknya senang, Alhamdulillah. Jadi, pada anak-anak muda pertama sekali kena ada ilmu dan macam mana pun kena habiskan pengajian dahulu.

“Kalau nak jadi YouTuber berjaya tak boleh putus asa, buat sahaja tanpa fikir apa orang nak cakap. Tidak kisahlah hanya 100 orang tonton pada awalnya, tetapi tetaplah teruskan sebab saya juga mengambil masa setahun untuk menarik perhatian penonton,” katanya.

Alieff berkata, video pertamanya yang mendapat tontonan ramai adalah filem pendek dialek Kelantan. Sebelum itu, dia pernah mencuba memuat naik pelbagai kandungan, namun tidak berjaya sehingga menggunakan kelebihan dalam dialek Kelantan.

Katanya, pendapatan pertamanya sebanyak RM800, namun berasakan jumlah itu cukup berharga sehingga menjadi pembakar semangat untuk terus menghasilkan kandungan untuk menghiburkan orang ramai.

“Sebelum itu, saya tidak menerima pendapatan selama setahun kerana video tidak mendapat perhatian, tetapi saya tidak pernah berputus asa.

“Saya tidak nafikan idea dan kandungan adalah perkara paling mencabar sepanjang menjadi pencipta kandungan.

“Sebab untuk kekal relevan dalam tujuh hingga lapan tahun, saya kena sentiasa ada idea baharu dan mengikut peredaran masa.

“Ini kerana sekarang ramai pencipta kandungan sedang naik,” katanya.

Justeru dengan kemenangan itu, Alieff berterima kasih kepada BH, ahli keluarga dan pelanggan akaun media sosialnya yang mengundi dan memberi sokongan kepadanya.

“Kami berusaha memberikan kandungan terbaik pada peminat. Peminat memberikannya semula dengan mengundi saya tanpa henti.

“Tidak hanya itu, peminat juga menyebarkan aktiviti undian dalam laman sosial. Ini semua adalah usaha penyokong kami.

“Saya dan pasukan lebih bersemangat dalam menghasilkan kandungan,” katanya.

Suami kepada pempengaruh media sosial, Nurul Nabilah Aliah Hazman atau lebih dikenali sebagai Bellestrelle ini cukup popular dalam media sosial dengan memiliki lebih 4.95 juta pengikut dalam YouTube, 3.1 juta (TikTok) dan 2.1 juta (Instagram).

Pendapatan dimilikinya sebagai pencipta kandungan cukup hebat sehingga tersenarai dalam daftar YouTuber paling kaya di Malaysia.

Alieff juga melangkah setapak ke hadapan apabila muncul dengan filem pertama berjudul Daddyku Gangster, tahun lalu.

Related post