BeritaDrama

“Bukan Buncit, Saya Hamil Anak Keempat”

Pelakon, Nad Zainal, 35, mengesahkan dirinya kini sedang berbadan dua apabila mendedahkan sedang hamil anak keempat, selepas sekian lama memilih untuk menyimpan perkara itu daripada pengetahuan umum.

Menurut pemilik nama penuh Farah Nadia Zainal Abidin, kehamilan yang kini sudah memasuki trimester kedua itu tidak diumumkan lebih awal kerana dia berhasrat untuk merahsiakannya, memandangkan pengalaman tersebut bukan sesuatu yang baharu buat dirinya.

Isteri kepada aktor Ungku Ismail Aziz itu menjelaskan keputusan tampil bersuara dibuat selepas timbul pelbagai andaian berhubung perubahan fizikalnya yang disalah tafsir oleh segelintir pihak.

“Sebenarnya saya memang tidak berniat untuk menghebahkan kehamilan ini. Usia pun sudah begini dan ini juga anak keempat, jadi saya rasa tidak perlu diperbesarkan.

“Namun saya tampil memberi penjelasan kerana ada yang menyangka saya tidak menjaga badan, sedangkan hakikatnya saya sedang hamil,” katanya dalam sebuah hantaran.

Kata Nad lagi, kekeliruan mula tercetus apabila terdapat individu yang menegur bentuk badannya, khususnya bahagian perut yang kelihatan semakin ketara, sehingga menimbulkan spekulasi dalam kalangan wargamaya.

“Ada yang menegur perut saya. Itu bukan buncit, saya hamil. Saya cuma mahu jelaskan perkara sebenar. Doakan yang baik-baik, supaya ada semangat nak uruskan diri dan rumah. Tak lama lagi nak masuk Ramadan,” tulisnya.

Untuk rekod, Nad pernah mendirikan rumah tangga dengan Faliq Amiruddin pada 18 Disember 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Fahad Ibrahim dan Budi Kalsom sebelum berpisah pada September 2022.

Nad kemudiannya bernikah dengan Ungku Ismail pada 23 Januari 2023 dan hasil perkahwinan tersebut, pasangan ini dikurniakan seorang anak lelaki, Ungku Indra Puteh Al Majid.

Related Articles

Back to top button