
Mahu mencari bakat baharu dalam kalangan pelajar universiti merupakan antara agenda penting yang disasarkan menerusi program Bintang Uni-Verse yang baru sahaja dilancarkan baru-baru ini.
Program yang diterbitkan oleh Universal Music Malaysia (UMMY), bersama L.Y. Music Factory dan Faithful Music, akan mencari bakat-bakat baharu dalam kalangan pelajar universiti di seluruh negara.
Bintang Uni-Verse merupakan sebuah program pencarian bakat yang menawarkan platform bagi pelajar-pelajar universiti untuk menonjolkan bakat mereka dalam bidang nyanyian.
Bukan sekadar program pencarian bakat, program ini juga bertujuan untuk mendedahkan pelajar-pelajar universiti dengan pengalaman pembelajaran secara langsung dalam industri hiburan tanah air.
Dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, ia menandakan langkah strategik dalam menghubungkan industri muzik dengan pendidikan.
Majlis pelancaran yang berlangsung di pejabat Universal Music Malaysia turut menyaksikan penandatanganan kerjasama strategik antara UMMY dan lima universiti tersebut.
Yang terlibat, Universiti Teknologi MARA (UiTM); Universiti Malaysia Sabah (UMS); Universiti Malaysia Kelantan (UMK); Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Bagi Pengarah Urusan UMMY, Kim Lim, pihaknya gembira dapat bekerjasama dalam misi mencari bakat-bakat baharu di Malaysia.
“Peserta akan memperoleh pendedahan, bimbingan, dan pengalaman industri yang sangat bernilai. Ini adalah platform di mana bakat bertemu peluang dan harapan terbesar kami melalui inisiatif ini adalah untuk memperkukuh jaringan strategik antara universiti-universiti awam di Malaysia dengan industri muzik tempatan.
“Kami berharap Bintang Uni-Verse menjadi batu asas untuk menemui dan membina bakat Malaysia, menginspirasi kreativiti, dan membentuk generasi artis seterusnya, sama ada di peringkat tempatan atau antarabangsa,” katanya.
Bagi L.Y. merangkap Pengarah Kreatif L.Y. Music Factory, beliau menganggap pencarian bakat ini penting bagi memastikan industri terus berkembang maju dari semasa ke semasa.
“Bintang Uni-Verse bukan sekadar pertandingan. Ia adalah platform yang menemui dan membina generasi profesional muda dengan personaliti kukuh dan potensi jangka panjang.
“Apa yang menjadikan program ini istimewa ialah elemen pemindahan ilmu, di mana pemain industri berkongsi pengalaman sebenar dengan pelajar.
“Harapan saya, Bintang Uni-Verse akan menjadi jambatan bermakna antara proses pembelajaran dan pekerjaan sebenar dalam memperkasakan Industri Muzik,” katanya lagi.
Dalam acara yang berlangsung pada Rabu lalu, turut dimeriahkan dengan persembahan daripada artis-artis bawah naungan Universal Music Malaysia seperti Nuha Bahrin (EMI), Ismail Izzani (DefJam Malaysia), dan Mohsein Kush (Faithful Music), yang mempamerkan kreativiti serta kecemerlangan muzik tempatan.
Dengan inisiatif ini, Bintang Uni-Verse memperkasakan bakat muda tempatan dengan pengalaman profesional industri, pengiktirafan di peringkat global dan peluang untuk mewakili Malaysia di pentas serantau dan antarabangsa.
Maklumat lanjut mengenai tarikh uji bakat, jadual jelajah kampus, dan garis panduan penyertaan akan diumumkan tidak lama lagi melalui platform rasmi Universal Music Malaysia.



