Bella Astillah Tak Perasan Ibu Mentua Titip Ucapan Untuk Anak-Anak

Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah mengakui tidak menyedari hantaran yang dimuat naik ibu mentuanya, Siti Hafiza bersempena hari lahir anak-anaknya, Mohamed Ayden Adrean yang kini berusia 8 tahun dan Ara Adreanna, 5.

Menurut pemilik nama lengkap Dayang Ara Nabella Astillah, dia hanya mengetahui tentang hantaran itu selepas dimaklumkan oleh pihak lain.

“Saya tak perasan sebenarnya, cuma bila ada orang sebut barulah saya tahu. Tapi saya tak mahu panjangkan isu, cukuplah saya minta doa yang baik-baik untuk kedua-dua belah pihak,” katanya.

Ditanya sama ada dia sengaja menghalang keluarga bekas suami, Aliff Aziz daripada bertemu dengan anak-anak, Bella memilih untuk tidak mengulas lanjut kerana khuatir kenyataannya disalah tafsir.

“Saya risau kalau tersalah cakap. Kalau saya kata ada (usaha hubungi), takut salah. Kalau kata tak ada pun nanti jadi isu lain. Jadi lebih baik saya tak komen tentang itu,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, tular hantaran di media sosial yang dimuat naik oleh Siti Hafiza yang meluahkan rasa rindu terhadap dua cucunya.

Dalam hantaran itu, dia turut menitipkan doa agar Ayden dan Ara membesar dengan sihat, bahagia dan menjadi anak-anak yang soleh serta solehah walaupun berjauhan.

Untuk rekod, Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan berpisah secara rasmi pada 13 Jun 2024.

Related post

Leave a Reply