
Penyanyi, Sharifah Zarina, 44, menegaskan pendedahan mengenai gangguan yang dialami anak perempuannya, Athalia di media sosial bertujuan menghentikan perbuatan tersebut daripada terus berlarutan.
Menurut Sharifah, tindakannya bersuara secara terbuka bukan untuk mengaibkan mana-mana pihak, sebaliknya sebagai langkah segera bagi melindungi anaknya.
Malah, identiti lelaki berkenaan sengaja dirahsiakan atas dasar perikemanusiaan, khususnya bagi menjaga maruah isteri individu terbabit yang didakwa seorang selebriti popular.
“Dia bukan pelakon atau penyanyi, tetapi ahli keluarga kepada selebriti terkenal itu. Saya tidak pernah terfikir untuk dedah atau aibkan nama dia kerana itu bukan tujuan utama. Tujuan saya muat naik di Threads hanyalah supaya perkara ini dihentikan dengan segera,” katanya.
Mengulas lanjut, Sharifah menyifatkan tindakan lelaki berstatus suami orang itu sebagai keterlaluan apabila berani mengajak Athalia keluar berdua-duaan.
“Ikutkan hati, memang saya nak hubungi dia, tetapi saya tak tahu keadaan dia ketika itu, mungkin bersama isteri atau anak. Saya tak sanggup melukakan hati isteri dia.
“Berkongsi di media sosial adalah cara paling berkesan kerana saya tahu media akan menulis dan ternyata ia berhasil,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Sharifah berkata, dia terpanggil untuk bersuara selepas lelaki terbabit mengajak Athalia keluar berdua-duaan ke pusat karaoke.
“Dia mula ikuti Athalia di Instagram dan perkara itu nampak biasa sebab saya juga kenal keluarga dia. Pada awalnya rajin beri komen di Instagram Story, kemudian mula puji-memuji.
“Lama-kelamaan, dia buat panggilan video. Pada mulanya Athalia sangka ahli keluarga dia, rupanya dia ajak keluar ke pusat karaoke. Athalia terus beritahu saya sebab dia takut nanti orang tuduh dia menyondol,” katanya.
Tambahnya lagi, keputusan bersuara dibuat selepas memikirkan kesan jangka panjang terhadap anaknya, selain rasa simpati terhadap isteri lelaki berkenaan yang disifatkan tidak mengetahui perkara tersebut.
“Saya perlu fikir jalan terbaik kerana kasihan dengan isterinya yang tak tahu apa-apa dan langsung tidak syak apa-apa,” katanya lagi.
Sebelum ini, Sharifah Zarina mendedahkan anak perempuannya diganggu oleh suami kepada seorang selebriti terkenal yang kerap meninggalkan komen di sosial media Athalia. Lelaki berkenaan turut didakwa mengajak Athalia keluar berdua-duaan.



