Anak Liza Hanim Juara Talk To My Manager, Bawa Pulang RM30,000

Anak Liza Hanim Juara Talk To My Manager, Bawa Pulang RM30,000

Malam kemuncak Talk To My Manager (TTMM) musim pertama menyaksikan Marsya Qistina iaitu anak kepada penyanyi Liza Hanim, diumumkan sebagai juara sulung program tersebut.

Kemenangan Marsya menepati ramalan ramai apabila persembahannya berjaya memikat hati juri dan penonton sekali gus menewaskan lima finalis lain iaitu Thalita, Amad, Hadie, Ammar dan Auddra.

Dengan kejayaan itu, Marsya membawa pulang wang tunai RM30,000, sebuah trofi kemenangan serta peluang merakamkan single baharu.

Ketika diumumkan sebagai juara, Marsya tidak dapat menahan air mata. Dalam sebak dan syukur, dia memanjatkan doa serta berterima kasih kepada semua yang percaya pada bakatnya.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur atas rezeki ini. Terima kasih kepada semua yang nampak potensi saya dan terutamanya mama,” ucapnya dalam linangan air mata.

Lebih menyentuh hati, Liza Hanim turut menzahirkan rasa syukur dan sebak atas kejayaan anak sulungnya itu.

“Mama tak pernah menang apa-apa sepanjang karier, tapi hari ini, mama tumpang rezeki awak. Terima kasih, sayang,” katanya.

Pada pentas akhir, Marsya tampil memukau dengan lagu Jangan Mati Rasa Itu nyanyian asal Aina Abdul dan pusingan duet pula, dia bergandingan bersama Aisha Retno, membawakan lagu Lay Me Down nyanyian asal Sam Smith.

Naib juara program itu menjadi milik pasangan Shuib dan Thalita yang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM15,000 berserta trofi.

Tempat ketiga pula disandang oleh Sharifah Shahirah dan Auddra yang turut menerima RM10,000 dan trofi sebagai penghargaan.

Sementara itu, Ameng dan Ammar berada di tempat keempat, membawa pulang RM5,000 bersama trofi. Diikuti oleh Ina Naim dan Hadie di tempat kelima dengan hadiah RM5,000 dan trofi.

Bagi kedudukan keenam, Siti Saerah dan Amad membawa pulang hadiah saguhati berupa RM3,000 serta trofi.

Selain kategori utama, Sharifah Shahirah turut diumumkan sebagai penerima Anugerah Gempak Most Valuable Manager, sekali gus membawa pulang baucar membeli-belah.

Dihoskan oleh Datuk Aznil Nawawi, pentas akhir TTMM menampilkan barisan juri tetap Che Puan Sarimah Ibrahim dan Datuk AC Mizal, bersama juri jemputan Datuk Syafinaz Selamat.

Related post

Leave a Reply