Penyanyi dan pelakon kelahiran Singapura, Aliff Aziz, 34, mendoakan yang terbaik untuk bekas isterinya, Bella Astillah yang kini berkawan rapat dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Aliff bagaimanapun enggan mengulas lebih berhubung hubungan Bella dan Saddiq kerana sedar dirinya tiada apa-apa kaitan dengan mereka.
“Saya reda dan doakan yang terbaik buat mereka. Jika itu adalah kebahagiaan buat mereka, saya reda dan doakan yang terbaik untuk kedua-duanya,” katanya dalam satu temu bual.
Bekas juara Gegar Vaganza 8 itu berkata lagi, dia kini lebih selesa memberi tumpuan kepada proses pemulihan diri selepas melalui episod penceraian pada 13 Jun 2024.
Dalam masa sama, Aliff tidak menyembunyikan rasa rindu mendalam terhadap dua anak mereka, Ayden Adrean dan Ara Adreanna yang kini di bawah jagaan Bella.
Katanya, dia belum berpeluang bertemu mahupun berhubung dengan mereka sejak tahun lalu.
“Saya rindu sangat. Doa saya setiap hari adalah untuk dapat lihat mereka semula dan sampaikan segala yang saya simpan dalam hati.
“Daddy sentiasa ingat dan doakan Ayden dan Ara, I love you so much and I miss you,” luahnya dengan nada sebak.
Pelantun lagu Sayang-Sayang itu sering mengikuti perkembangan anak-anak secara diam, terutama ketika tiba tarikh lahir mereka dan bersyukur kerana dikelilingi insan yang menyayangi.
Mengulas mengenai tekanan yang dihadapinya pasca penceraian, Aliff mengakui dia berada dalam dilemma.
“Kadang-kadang saya nak cerita semuanya. Tapi bila fikirkan kesan terhadap anak-anak dan keluarga, saya jadi serba salah,” kongsinya lagi.
Dia turut menyuarakan kebimbangan bagaimana kisah-kisah silamnya akan mempengaruhi persepsi anak-anak apabila mereka dewasa kelak.
Walaupun berdepan pelbagai ujian, Aliff tetap positif dan berazam untuk memperbaiki diri.
“Saya bertekad untuk bangkit semula dan menjadi insan yang boleh dibanggakan oleh keluarga saya,” ungkapnya.