Bawa Kelainan, Adira Suhaimi, Fiq7 Bersatu Menerusi Gelas Memori
Penyanyi Adira Suhaimi kembali dengan sentuhan segar melalui single terbaharu berjudul Gelas Memori yang menampilkan kolaborasi istimewa bersama rapper penuh misteri yang sangat berpengaruh kini, Fiq7.
Lagu ini diterbitkan secara usahasama oleh Nova Music dan Rhunut Music, dengan komposisi dan lirik sepenuhnya oleh Fiq7 serta susunan muzik oleh Mas Dewangga.
Dengan kombinasi genre balada dan rap, Gelas Memori membawa dimensi baharu kepada muzik tempatan yang menyelami tema rindu, kehilangan dan janji yang kekal di hati.
Gaya rap puitis Fiq7 dan vokal penuh perasaan Adira menghasilkan keseimbangan emosi yang mengalir indah sepanjang lagu.
Menurut Adira yang pernah mengukir kejayaan dengan lagu-lagu hit seperti Ombak Rindu, Takdir Tercipta dan Pujaan Hati, kolaborasi ini membawa pengalaman baharu dari segi vokal dan penghayatan.
“Apabila saya mendengar demo lagu ini, saya terus tertarik dengan cara penceritaannya. Ia bukan sekadar lagu cinta, tetapi kisah mengenai bagaimana kenangan boleh menjadi sumber kekuatan.
“Walaupun melodinya lembut, liriknya sarat dengan makna yang mendalam. Saya rasa setiap orang yang pernah merindui seseorang akan dapat memahami perasaan dalam Gelas Memori,” katanya.
Tambah Adira lagi, kolaborasi bersama Fiq7 membuka peluang untuk dirinya meneroka sisi berbeza dalam dunia muzik.
“Saya kagum dengan cara Fiq7 menulis dan menyampaikan liriknya. Gaya rap yang dipersembahkan tidak hanya pantas atau teknikal, tetapi puitis dan jujur. Ia membuatkan saya lebih terinspirasi untuk memberi nyawa kepada bahagian balada dalam lagu ini.
“Meski kami datang daripada dua dunia muzik yang berbeza, tetapi tujuan kami sama iaitu untuk menyampaikan emosi yang benar,” katanya.

Adira berkata, Gelas Memori juga bukan sekadar lagu, tetapi sebuah karya seni yang menzahirkan kejujuran, emosi, dan evolusi dua artis dari generasi berbeza.
“Lagu ini membuktikan bahawa muzik mampu menyatukan jiwa walau datang dari dunia yang berlainan. Saya berharap dengan penghasilan yang berkualiti, Gelas Memori meninggalkan kesan mendalam di hati para pendengar,” katanya.
Sementara itu, Fiq7, yang kini menjadi fenomena digital dengan jutaan tontonan di YouTube melalui lagu-lagu seperti Puisi Malam yanh mencatatkan tontonan sebanyak 8.5 juta; Rindu Tak Terucap )6.6 juta) dan Restu (1.6 juta) menyifatkan Gelas Memori sebagai karya paling peribadi.
“Saya menulis lagu ini ketika melalui satu fasa kehidupan yang penuh ujian. Setiap baris lirik adalah refleksi kepada apa yang saya rasakan termasuk soal kehilangan, penyesalan dan kekuatan untuk terus berdiri.
“Bila saya bayangkan lagu ini dengan suara Adira, saya tahu ia akan menjadi lebih bermakna,” katanya.
Dikenali dengan identiti misteri kerana tidak pernah menampilkan wajahnya secara terbuka, Fiq7 percaya bahawa muzik seharusnya berbicara lebih kuat daripada penampilan.
“Saya mahu pendengar fokus kepada mesej dan keikhlasan lagu, bukan siapa saya. Dalam Gelas Memori, saya cuba menggabungkan unsur rap jalanan dengan bahasa sastera yang indah. Saya mahu rap ini ada jiwa, bukan sekadar irama,” katanya.
Lagu ini dihasilkan dengan sentuhan oleh Mas Dewangga, yang bertindak sebagai penerbit, penyusun, ‘mix’ dan ‘mastering’.
Mas Dewangga berjaya menyeimbangkan elemen moden dan klasik dengan mengekalkan keaslian balada sambil memberi ruang kepada rap untuk menyerlah.
Lagu ini turut menonjolkan sisi kematangan Adira sebagai penyanyi yang berani mencuba sesuatu yang berbeza, serta memperkukuh reputasi Fiq7 sebagai pencipta lagu yang berbakat besar.
Lirik Gelas Memori sarat dengan metafora dan simbolisme yang mana gelas menjadi lambang kenangan yang menampung segala rasa, cinta, kehilangan, kesakitan dan kekuatan.
