Empat dekad melayari turun naik industri seni sebetulnya bukan satu tempoh masa yang singkat. Dalam tempoh berkenaan pelbagai suka duka telah dilalui oleh Datuk Sheila Majid sebelum sampai ke tahap ini dan kekal berpengaruh.
Tidak mahu selesa dengan apa yang sudah dinikmati, Sheila terus membuktikan keampuhan dan kehebatan dengan melancarkan single terbaharu berjudul Moving On baru-baru ini.
Single yang menjadi simbolik kepada angka 40 tahun pembabitannya itu bukan sekadar lagu baharu sebaliknya adalah cerminan perjalanan peribadi seorang legenda yang sudah menempuh segala badai.
Lagu yang sarat dengan emosi itu juga membawa mesej penyembuhan, kekuatan dan kebebasan dengan adunan muzik era disko yang segar serta sentuhan nu-disco kontemporari.
“Syukur akhirnya lagu ini dapat dilancarkan secara rasmi setelah sekian lama menunggu. Sebetulnya saya tidak mengejar trend terkini sebaliknya mengejar rasa dan jiwa. Lagu ini memberikan saya ilham untuk terus berkarya kerana saya saksikan dunia kini telah berubah, begitu juga saya.
“Perubahan yang berlaku di sekeliling inilah yang membuatkan saya bersemangat melakukan sesuatu yang baharu. Tetapi janga risau, saya tetap kenal dengan diri sendiri,” katanya.
Mengimbas kembali kenangan beberapa tahun yang lalu, penyanyi yang digelar Ratu Jazz ini menyedari sesuatu yang ‘pelik’ berlaku saat dunia menghadapi era pandemik akibat Covid-19.
Banyak lagu-lagu lamanya seperti Sinaran mendapat perhatian terutama oleh generasi muda dan itu sedikit sebanyak memberikan inspirasi kepadanya untuk terus berkarya dan menyatukan dua dunia melalui muzik.
Maka, Moving On menjadi pilihannya sementelah lagu tersebut mengisahkan tentang jiwa terutamanya buat generasi muda yang masih mencari identiti dan siapa mereka di tengah kesibukan dunia digital.

Bagi melengkapkan lagi visi muzik seperti yang dimahukan, Sheila bergabung dengan penerbit terkenal dari Korea Selatan, Hyuk Shin, yang dikenali dengan kerja-kerja produksi bertaraf antarabangsa.
‘Komposisi’ lagu ini sarat dengan inspirasi era kegemilangan Donna Summer dan Diana Ross, sejajar dengan kecintaan Sheila terhadap nuansa groove tahun 80-an.
Tidak berhenti setakat itu, elemen city pop juga disematkan tatkala nuansa itu kembali popular dalam kalangan generasi muda sedangkan itu bukanlah sesuatu yang asing buat Sheila- kerana di situlah akar muziknya bermula.
“Sebenarnya saya sudah lama teringin untuk lakukan sesuatu yang berbeza. Anda semua tahu genre muzik yang saya bawakan, bukan? Seperti yang anda maklum, saya pernah bekerjasama dengan beberapa penerbit terbaik di rantau ini termasuklah dari Indonesia, Malaysia dan Singapura.
“Jadi, saya fikir ia menarik untuk bekerjasama dengan seseorang yang tidak begitu mengenali muzik saya. Saya percaya ia akan memberi nafas segar. Kali ini, saya mahu bawa suasana disko.” katanya.