FoodsViral

Influencer Maut Lepas Makan Ketam ‘Devil Crab’

Seorang pempengaruh makanan di Filipina meninggal dunia dua hari selepas menikmati ketam beracun yang dikenali sebagai ‘devil crab’.

Dalam dua video yang dimuat naik pada 4 Februari, Emma Amit, 51, merakamkan dirinya bersama rakan-rakan memancing di sebuah tasik sebelum memasak pelbagai jenis hidupan air yang diraih ketika itu,

Menurut laporan New York Post, mereka berada di kawasan hutan bakau berhampiran rumahnya di Puerto Princesa, sebuah bandar pesisir di Palawan.

Video terakhirnya berakhir dengan dia menggigit seekor siput laut.

Kesan toksin daripada ketam tersebut dipercayai berlaku dengan cepat apabila Amit jatuh sakit teruk pada keesokan harinya.

Menurut jiran, dia mengalami sawan ketika dibawa ke sebuah klinik tempatan. Keadaannya kemudian semakin merosot sebelum dihantar ke hospital.

Pada 6 Februari, dua hari selepas menikmati hidangan makanan laut tersebut, dia disahkan meninggal dunia.

Dalam siasatan punca kematian, pegawai kampung yang pergi ke rumah Amit menemui kulit ketam devil crab dalam tong sampah.

Menurut Smithsonian, ketam terumbu devil menyimpan dua jenis toksin paling berbahaya, iaitu tetrodotoksin dan saxitoksin, di dalam ototnya.

Memakan ketam tersebut boleh menyebabkan kematian dalam tempoh beberapa jam, menurut sumber berkenaan.

Susulan insiden itu, pihak berkuasa Filipina memberi amaran kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak memakan makanan laut yang tidak dikenali, lapor Interaksyon Filipina.

Ketua kampung Luzviminda di Puerto Princesa turut menggesa penduduk di kawasan pesisir supaya lebih berwaspada.

Amit dilaporkan merupakan kes kedua yang direkodkan di kawasan tersebut yang disyaki berkaitan dengan ketam devil.

“Jangan makan ketam devil yang berbahaya ini kerana ia telah meragut dua nyawa di bandar kita,” kata ketua kampung itu seperti dipetik oleh New York Post.

Pihak berkuasa juga memantau keadaan rakan-rakan Amit bagi mengesan sebarang simptom.

Related Articles

Back to top button