BeritaViral

Malaysia Pertimbang Wajibkan Penggunaan Dashcam

Malaysia sedang mempertimbangkan untuk mewajibkan penggunaan kamera papan pemuka (dashcam) bagi semua pengguna jalan raya sebagai sebahagian daripada usaha menyeluruh untuk memperkukuh penguatkuasaan trafik dan meningkatkan keselamatan jalan raya di seluruh negara.

Menurut Astro AWANI, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman kini sedang meneliti satu cadangan untuk mewajibkan penggunaan dashcam, yang ketika ini hanya dianggap sebagai aksesori tambahan dan bukannya peralatan wajib dalam kenderaan.

Timbalan Pengarah I (Penguatkuasaan, Kawalan Lalu Lintas dan Pengurusan Saman) JSPT Bukit Aman, DCP Mohd Rozi Jidin, berkata sudah tiba masanya pihak berkuasa berkaitan, khususnya Kementerian Pengangkutan, menilai semula status penggunaan dashcam.

Mohd Rozi menjelaskan, cadangan tersebut bertujuan memperkasa orang awam untuk bertindak sebagai mata dan telinga tambahan kepada agensi penguatkuasaan dengan merakam serta melaporkan kesalahan lalu lintas.

“Buat masa ini, dashcam tidak diwajibkan dan hanya dianggap sebagai aksesori. Namun mungkin sudah sampai masanya untuk kita mewajibkannya supaya semua pengguna jalan raya boleh menjadi mata pihak berkuasa, di mana kesalahan boleh dirakam dan dilaporkan,” katanya kepada Astro AWANI pada Selasa.

Beliau menambah, JSPT turut meneroka mekanisme untuk memberi ganjaran kepada individu yang aktif melaporkan kesalahan lalu lintas menggunakan rakaman dashcam.

Antara idea yang sedang dipertimbangkan ialah pemberian insentif seperti diskaun saman pada masa hadapan kepada mereka yang kerap menghantar laporan kesalahan trafik yang telah disahkan.

“Perkara ini masih di peringkat perancangan dalam JSPT berkaitan dashcam. Pada masa akan datang, mereka yang tidak membuat laporan mungkin tidak menerima diskaun saman, manakala mereka yang melaporkan kesalahan boleh menikmati kelebihan tertentu,” katanya.

Mohd Rozi turut memaklumkan yang JSPT menerima maklum balas positif daripada orang ramai, dengan ramai yang menyokong penggunaan dashcam secara lebih meluas sebagai alat bantuan kepada usaha penguatkuasaan.

Beliau berkata, cadangan itu juga merangkumi kebenaran kepada mana-mana pengguna jalan raya yang memiliki dashcam untuk merakam insiden atau kesalahan trafik dan menyalurkan rakaman tersebut kepada pihak berkuasa, dengan potensi manfaat tertentu menanti.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, sebarang laporan menggunakan rakaman dashcam mestilah mematuhi undang-undang serta garis panduan yang akan ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Related Articles

Back to top button