
3 Hari Heliza Helmi Berlapar Dalam Penjara Israel, Diberi Minum Air Tandas
Sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF), Heliza Helmi, 39, mendedahkan pengalaman mengerikan yang dilaluinya ketika ditahan tentera zionis Israel apabila dia langsung tidak diberi sebarang makanan sepanjang berada dalam tahanan.
Menurut Heliza, dia dan rakan-rakan sukarelawan lain bukan sahaja dilayan dengan kejam, malah dipaksa meminum air dari tandas bagi menahan dahaga.
“Mereka layan kami dengan sangat teruk dan kejam. Boleh bayangkan tak, kami diberi minum air tandas?
“Kali terakhir saya makan adalah pada 1 Oktober dan makanan pertama yang saya dapat hanyalah pada 4 Oktober. Jadi selama tiga hari, saya langsung tidak diberi makan, hanya minum air tandas,” katanya dalam satu temu bual.
Dalam pada itu, adik Heliza, Hazwani Helmi turut mendedahkan tentera Israel langsung tidak mengambil berat tentang kesihatan para sukarelawan, meskipun ada yang jatuh sakit sepanjang tempoh tahanan.
“Ada sukarelawan yang jatuh sakit, tapi bila kami beritahu tentera Israel, mereka hanya jawab, ‘Adakah dia mati? Kalau tidak, itu bukan masalah kami.’ Bayangkan betapa kejamnya mereka,” katanya.
Dalam temu bual sama, Heliza dan Hazwani menzahirkan rasa syukur serta penghargaan tidak terhingga kepada kerajaan Turkiye atas keprihatinan dan bantuan dalam usaha membebaskan semua 23 sukarelawan Malaysia yang ditahan.
Misi Global Sumud Flotilla (GSF) merupakan inisiatif kemanusiaan antarabangsa yang digerakkan bagi menyalurkan bantuan ke Gaza, namun disekat dan ditahan oleh rejim Israel sebelum sempat sampai ke destinasi.
Sabtu lalu, Heliza dan Hazwani Bersama 21 sukarelawan Malaysia yang lain selamat tiba di Instabul, Turkiye selepas beberapa hari ditahan oleh tentera Israel sewaktu menjayakan misi kemanusiaan GSF menuju ke Gaza.