
2 Tahun Sufi Rashid Simpan Rahsia Cinta Sabronzo & DJ Berlin
Penyanyi Sufi Rashid, 34, mengakui dia tidak terkejut apabila ahli kumpulan Dolla, Sabronzo, mengikat ikatan perkahwinan dengan pilihan hatinya, Ryan Fieret atau lebih dikenali sebagai DJ Dash Berlin.
Pemilik nama sebenar Muhammad Sufi Rashid, berkata, tanda-tanda hubungan rapat pasangan itu sudah diketahui sejak dua tahun lalu.
“Saya sudah maklum sejak 2023 lagi mereka memang rapat. Ryan ini sebenarnya lelaki yang baik, cuma agak pendiam dan tidak gemar bercakap banyak. Hanya orang terdekat tahu keperibadiannya.
“Apabila pihak label Universal Music Malaysia memaklumkan tentang rancangan perkahwinan mereka, saya rasa itu langkah yang tepat. Lebih elok menghalalkan hubungan berbanding terus berpasangan tanpa ikatan,” ujarnya.
Sufi yang akan mengadakan Konsert Dolla pada 6 Disember ini di bawah syarikatnya, SAH Entertainment, percaya berita gembira itu pasti menjadi perbualan hangat peminat.
Namun begitu, dia sedikit terkilan dengan sikap segelintir pihak yang menimbulkan andaian buruk terhadap Sabronzo.
“Sudah boleh dijangka netizen akan berkata macam-macam apabila dia berkahwin. Dolla memang sering terpalit dengan gosip.
“Tetapi lebih baik kita doakan yang baik-baik. Saya kasihan melihat dia pernah dituduh bukan-bukan.
“Selepas ini, bagaimana pula dengan mereka yang pernah bercakap buruk bila dia sendiri sudah sah bergelar isteri? Itu sudah jatuh fitnah, wajar mereka memohon maaf,” katanya lagi.
Spekulasi yang berlegar akhirnya terlerai apabila pada Isnin lalu, Sabronzo memuat naik gambar-gambar pernikahan dan resepsi di media sosial sekali gus mengesahkan khabar yang diperkatakan.