Youtuber Ini Berjalan Kaki Dari KLCC Ke Port Dickson

YouTuber asal Malaysia, Bryson Lew, baru-baru ini berjaya menamatkan cabaran berjalan kaki sejauh 150 kilometer dari KLCC ke Port Dickson, yang didokumentasikan di saluran YouTube miliknya.
Ditemani rakannya, Qi Feng, mereka mengambil masa enam hari untuk menamatkan perjalanan tersebut dengan berjalan kaki sepenuhnya.
Sebelum memulakan cabaran, Bryson telah merancang jarak perjalanan harian serta penginapan sepanjang laluan.
Walaupun membuat persiapan rapi, dia mengakui hampir berputus asa selepas berjalan kira-kira 15 kilometer akibat keletihan, namun tetap meneruskan perjalanan dengan penuh tekad.
Sepanjang perjalanan, mereka berdepan cuaca panas, tempoh berjalan yang panjang, serta hujan yang tidak dijangka.

Bryson turut berkongsi yang ramai rakyat Malaysia yang ditemui sepanjang perjalanan menunjukkan sikap baik dan prihatin.
Ada yang menawarkan makanan, manakala yang lain mengingatkan mereka supaya sentiasa berhati-hati di jalan raya.
Tambahnya, ramai yang terkejut apabila mengetahui mereka melakukan perjalanan itu sepenuhnya dengan berjalan kaki.
Pada akhir cabaran, Bryson dan Qi Feng berjalan sejauh 152.84 kilometer.
Perjalanan tersebut mengambil masa lebih 61 jam dengan lebih 211,000 langkah direkodkan.
Mereka akhirnya tiba di Port Dickson, sekali gus menamatkan cabaran tersebut sambil merakam pemandangan indah di kawasan-kawasan yang jarang dilihat orang ramai.



