
Pelakon Wanna Ali berkongsi khabar gembira apabila mendedahkan dirinya kini sedang hamil dan usia kandungannya sudah memasuki 25 minggu.
Wanna meluahkan rasa syukur serta terharu apabila mengenang perjalanan hidupnya yang berubah dengan pantas dalam tempoh lebih setahun kebelakangan ini.
Menurutnya, dalam masa singkat itu, kehidupannya seolah-olah ditulis semula dengan pelbagai fasa baharu yang penuh makna.
“Dalam tempoh setahun lebih sahaja, Allah telah mengatur segalanya. Bermula dengan merisik, kemudian bertunang, berkahwin dan kini amanah kecil sedang membesar dalam diri saya.
“Kandungan saya kini berusia 25 minggu dan hanya tinggal kira-kira tiga bulan sebelum hidup kami berubah daripada sekadar ‘awak dan saya’ kepada ‘kita’,” tulisnya dalam sebuah hantaran.
Dalam perkongsian sama, pelakon itu turut menzahirkan penghargaan buat suami tercinta yang disifatkan sebagai sumber kekuatan serta pendamping setia.
“Buat suami saya, sejujurnya saya tidak tahu bagaimana hidup saya tanpa awak. Terima kasih kerana sentiasa berada di sisi saya,” katanya.
Untuk rekod, Wanna Ali mendirikan rumah tangga bersama Khairul Amri Tan Sri Khalid dalam sebuah majlis yang berlangsung di Petaling Jaya pada 9 Februari 2025.



