Tun M Ucap Selamat Hari Lahir Buat Siti Nurhaliza

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengirimkan ucapan istimewa sempena ulang tahun kelahiran ke-47 Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Tun Mahathir atau lebih mesra disapa Tun M menyampaikan ucapan penuh doa dan penghargaan buat penyanyi kesayangan rakyat Malaysia itu.
“Assalamualaikum Siti. Saya dimaklumkan bahawa umur Siti sudah meningkat dan saya ingin ucap selamat hari jadi.
“Insya-Allah saya berdoa dan berharap Siti akan terus berjaya dalam kerjaya. Walaupun berumur, suara masih macam lama dan nyanyian masih lagi begitu menarik,” katanya dalam sebuah hantaran.
Ucapan tersebut nyata menyentuh hati ramai peminat. Menjengah ke ruangan komen, rata-rata meluahkan rasa sebak dan terharu melihat penghargaan daripada seorang negarawan kepada ikon seni tanah air.
Tanggal 11 Januari genap ulang tahun kelahiran ke-47 pelantun lagu Sehebat Matahari itu.
Lebih istimewa, sambutan tahun ini diraikan dalam suasana penuh gemilang menerusi Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.
Dalam perkembangan lain, Tun M kini sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) sejak 6 Januari lalu selepas terjatuh di kediamannya.
Difahamkan, Tun M mengalami retak tulang pinggul dan akan menjalani rawatan fisioterapi tanpa pembedahan.



