“Tiga Tahun Beraya Sebagai Yatim Piatu”

Pelakon dan penyanyi, Liyana Jasmay, 37, mengakui perasaan rindu terhadap kedua-dua ibu bapanya semakin kuat setiap kali menjelang 1 Syawal, lebih-lebih lagi selepas tiga tahun menyambut Aidilfitri tanpa mereka di sisi.
Menurut Liyana, meskipun masa terus berlalu, kehilangan itu masih terasa seolah-olah baru semalam, malah dia kadangkala merasakan ibu dan bapanya masih ada bersamanya.
“Tiga tahun beraya sebagai yatim piatu. Kadang-kadang terasa seperti tidak nyata kerana selalu merasakan mereka masih ada.
“Kasih sayang tidak pernah terputus, cuma realitinya berbeza. Al-Fatihah buat mama dan babah. Rindu kalian tanpa penghujung,” tulisnya dalam satu hantaran.
Dalam pada itu, Liyana turut menitipkan pesanan menyentuh hati kepada orang ramai agar menghargai ibu bapa selagi mereka masih ada.
“Kepada yang masih mempunyai ibu bapa, kalian sangat bertuah. Semoga kedua-dua ibu bapa kalian dipanjangkan umur dan hargailah mereka tanpa batasan,” ujarnya lagi.
Perkongsian tersebut nyata menyentuh emosi ramai apabila rata-rata netizen tampil memberikan kata-kata semangat selain mendoakan agar roh kedua ibu bapanya ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Terdahulu, bapa Liyana, Datuk Jasmay Md. Shah meninggal dunia pada Disember 2021 akibat kanser paru-paru, manakala ibunya, Datin Habsah Simpon pula menghembuskan nafas terakhir pada Mei 2023 akibat kanser limfoma.
Untuk rekod, Liyana merupakan anak bongsu daripada empat beradik dan cukup dikenali sebagai figura seni yang aktif dalam dunia lakonan serta penerbitan.



