Berita

“Tatu Hanya Sejarah, Bukan Untuk Dibanggakan”

Pelakon, Adam Corrie, 57, berkongsi kisah silamnya yang pernah mencacah tatu pada tubuh, namun menegaskan perbuatan itu dilakukan bukan kerana tekanan hidup, sebaliknya minat terhadap seni tersebut ketika itu.

Menurut pemilik nama penuh Adam Corrie Lee Abdullah, dia mengakui pernah melalui fasa ketagihan untuk menambah tatu, bermula dengan lukisan kecil sebelum keinginan itu semakin menjadi-jadi.

“Sebelum kembali kepada (memeluk) Islam, saya buat tatu, bukan sebab tekanan atau nak lari dari masalah tapi sebab saya suka.

“Bermula dengan yang kecil kemudian nampak cantik dan rasa menarik. Lepas satu, tambah lagi dan lagi.

“Sampai satu tahap, rasa macam tak cukup. Kalau boleh, nak tatu penuh satu badan,” katanya.

Bagaimanapun, kehidupannya mula berubah selepas hatinya tersentuh untuk meninggalkan perkara tersebut, meskipun tanpa paksaan daripada mana-mana pihak.

Corrie yang memeluk Islam pada Julai 2007 berkata, keputusan untuk berhenti datang secara semula jadi selepas dia mula memahami ajaran agama.

“Tapi dalam perjalanan itu, Allah mula jentik hati saya. Tanpa sebab yang jelas, saya berhenti. Bukan sebab orang larang atau dipaksa tetapi hati sendiri rasa cukup.

“Beberapa tahun kemudian, saya kembali kepada fitrah. Saya kenal Islam, faham dan sedar bahawa yang dulu saya anggap ‘cantik’ rupa-rupanya bukan jalan yang Allah reda,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, Corrie menegaskan bahawa segala yang berlaku sebelum ini hanyalah sebahagian daripada sejarah hidupnya yang tidak perlu dibanggakan.

“Hari ini, saya seorang hamba Allah yang sudah bersyahadah. Tatu itu hanyalah sejarah. Bukan untuk dibanggakan dan diulang.

“Yang perlu dijaga dan diperbaiki sekarang adalah akidah serta diri sendiri. Paling penting adalah usaha untuk jadi hamba-Nya yang lebih baik setiap hari.

“Kerana hidayah itu milik Allah dan bila Dia panggil, tak ada siapa boleh halang,” tuturnya.

Sejak kebelakangan ini, isu berkaitan tatu kembali hangat diperkatakan selepas seorang pempengaruh media sosial mendedahkan dirinya pernah mencacah tatu kerana berdepan kemurungan.

Related Articles

Back to top button