
Seorang warga asing di Malaysia didakwa kehilangan RM10,000 selepas berjudi di sebuah kasino di Bentong, Pahang.
Bimbang dimarahi teman lelakinya, wanita berusia 25 tahun itu kemudian membuat laporan polis palsu dengan mendakwa dia telah dirompak.
Namun, pihak polis berjaya membongkar pembohongan tersebut dan wanita itu kini didakwa kerana sengaja membuat laporan palsu serta tinggal di negara ini secara haram, lapor New Straits Times.
Wanita berkenaan sebelum ini mendakwa telah dirompak oleh dua wanita warga asing pada pukul 5.30 petang, 6 Januari, di hadapan lif sebuah hotel di Genting Highlands.
Polis tempatan yang menerima laporan itu telah menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) hotel berkenaan, namun tidak menemui sebarang bukti kejadian rompakan seperti yang didakwa.
Hasil siasatan lanjut mendapati wanita tersebut sebenarnya telah kehilangan wang berkenaan ketika berjudi dan mereka cerita mengenai rompakan itu bagi mengelak dirinya dimarahi oleh teman lelaki.
Polis turut memaklumkan wanita itu gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Bagi kesalahan sengaja membuat laporan palsu, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan, denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Manakala bagi kesalahan tinggal di Malaysia tanpa pas yang sah, dia berdepan hukuman denda sehingga RM10,000 penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.



