
Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman mengesahkan bakal menamatkan perkhidmatannya bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) selepas lebih tiga tahun berkhidmat, berkuat kuasa hujung bulan Februari.
Menurut Suhaimi, keputusan itu dibuat selepas menilai secara menyeluruh hala tuju hidup dan perancangan peribadi, selain keinginan untuk melangkah ke fasa baharu dalam kehidupannya.
“Ini adalah sebahagian daripada perjalanan hidup. Akan sampai satu masa kita merasakan sudah tiba waktunya untuk bergerak ke hadapan dan melakukan perkara lain.
“Saya kini berusia 64 tahun. Saya sebenarnya sudah bersara sebelum dipelawa untuk membantu RTM dan kini sudah lebih tiga tahun berada di sini,” katanya.
Dalam pada itu, Suhaimi memaklumkan dia mempunyai beberapa perancangan lain yang ingin direalisasikan selepas ini, melibatkan kerjaya dan kehidupan peribadi.
Bagaimanapun, Suhaimi menegaskan pengalamannya bersama RTM merupakan sesuatu yang amat bermakna dan meninggalkan kesan mendalam buat dirinya.
“Banyak perkara yang saya masih ingin lakukan, sama ada dari segi profesional mahupun peribadi. Itulah asas kepada keputusan ini.
“Namun secara keseluruhan, pengalaman saya di RTM sangat indah. Warga kerja RTM memiliki potensi besar dan bersedia untuk melangkah lebih jauh. Mereka semua hebat,” katanya.
Mengulas lanjut, Suhaimi menyifatkan RTM sebagai sebuah organisasi yang mempunyai kekuatan tersendiri, khususnya dari segi bakat dan kepakaran warga kerjanya.
“Saya sudah lama dalam industri media dan kini berusia 64 tahun. Saya mahu memberi tumpuan kepada perkara yang benar-benar saya minati. RTM sebenarnya mempunyai khazanah besar serta staf yang sangat mahir dalam bidang masing-masing.
“Apabila saya berada di RTM, mudah untuk saya memahami apa yang mereka ingin capai kerana itulah yang saya lakukan sepanjang berada dalam industri ini sebelum ini,” ujarnya lagi.
Suhaimi turut menjelaskan kejayaan serta transformasi yang dicapai RTM sepanjang tempoh kepimpinannya adalah hasil kerjasama erat pasukan serta sokongan kepimpinan tertinggi Kementerian Komunikasi yang terbuka terhadap idea baharu.
“Apa yang menjadikan RTM berjaya sepanjang tiga tahun ini ialah sokongan penuh terhadap idea yang diketengahkan. Ekosistem itu wujud hasil kepimpinan yang progresif dan reseptif terhadap pembaharuan. Menteri, Timbalan Menteri dan Ketua Setiausaha semuanya memberi sokongan padu,” katanya.
Menyentuh mengenai perbincangan bersama pihak atasan, Suhaimi memaklumkan perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
“Keputusan ini bukan dibuat secara tergesa-gesa. Saya sudah lama memikirkannya. Bagi saya, jika akar sesebuah organisasi itu kukuh, ia akan terus berkembang walaupun pucuknya dipangkas.
“Perkara ini juga sudah saya maklumkan kepada Fahmi. Beliau bertanya sama ada saya benar-benar nekad dan saya beritahu keputusan ini telah lama dipertimbangkan,” katanya.
Sebelum ini, timbul spekulasi bahawa Suhaimi telah menyerahkan surat pelepasan jawatan dan dijangka menamatkan perkhidmatan pada 22 Februari ini.
Untuk rekod, Suhaimi memiliki pengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan penyiaran, termasuk pernah berkhidmat bersama Media Prima Berhad, Kumpulan Media Sarawak, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Astro Awani.



