Suami Sanggup Jual Segala Harta Termasuk BMW Demi Rawatan Kanser Isteri Tahap Empat
Seorang lelaki menjadi perhatian selepas pengorbanannya demi memastikan isteri mendapat rawatan terbaik akibat menghidap kanser tahap empat.
Ahmad Hamada Ayueman, berkata dia sanggup menjual segala yang dimilikinya untuk menampung kos rawatan isterinya, Siti Nuraifat Bueraheng, yang pada mulanya mengalami lebam di bahagian lutut selepas terlibat dalam kemalangan motosikal.
Selepa kejadian itu, isterinya mendapatkan rawatan dan memandangkan imbasan awal tidak menunjukkan sebarang masalah, mereka meneruskan kehidupan seperti biasa.
Namun bengkak pada lutut isterinya semakin teruk menyebabkan mereka kembali mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta. Menerusi rawatan itu, mereka dimaklumkan yang Siti menghidap kanser sarkoma tisu lembut tahap empat.
Situasi tersebut menyebabkan kos rawatan semakin meningkat, melibatkan imbasan MRI, pembedahan lutut serta caj kemasukan ke hospital. Pasangan itu juga mempunyai dua orang anak untuk ditanggung.
Namun cabaran mereka bukan sekadar kewangan, kerana Ahmad terpaksa berhenti kerja di sebuah restoran bagi menjaga isterinya sepenuh masa.
Ahmad telah menjual barangan peribadinya dan kini bercadang menjual kereta BMW miliknya bagi membiayai rawatan tersebut.
Masalah kewangan yang dilalui mereka turut menjadi lebih rumit kerana Siti merupakan warga Thailand dan berada di Malaysia menggunakan pas tanggungan sosial. Ahmad memaklumkan yang dia telah memohon pelbagai bentuk bantuan, namun semuanya tidak berjaya. Oleh itu, dia mengambil inisiatif mengumpul dana melalui media sosial.
Memetik laporan Kosmo, Ahmad menjelaskan, tiada yang lebih berharga bagi seorang lelaki selain melihat isterinya kembali sihat.
“Saya tidak akan berputus asa selagi dia masih bernafas,” katanya.
