Sofyank Gembira Jumpa Jackie Chan, Impian Kanak-Kanak Jadi Kenyataan

Pempengaruh dan pakar kandungan visual, Sofyank meluahkan rasa syukur apabila berpeluang bertemu secara bersemuka dengan aktor legenda Hong Kong, Jackie Chan, sewaktu menghadiri sebuah acara pelancaran filem di Beijing, baru-baru ini.

Sofyank atau nama sebenarnya Muhammad Sofian Abdullah, 29, menyifatkan pertemuan itu sebagai satu lagi impian zaman kanak-kanaknya yang berjaya direalisasikan.

“Alhamdulillah, waktu di Beijing kami berpeluang untuk bertemu dengan aktor legenda dunia, Jackie Chan. Plan asal kami memang nak rakam video VFX bersama beliau.

“Tapi disebabkan kekangan masa, pelan itu tak kesampaian. Tapi tak mengapa, dapat bertentang mata dan berbual seketika dengan ikon yang telah mewarnai zaman kanak-kanak kita semua, sudah cukup memadai,” katanya dalam sebuah hantaran.

Menurut Sofyank, meskipun sedikit terkilan kerana tidak sempat merakam video khas bersama bintang aksi terkenal itu, namun pertemuan tersebut sudah cukup membakar semangat untuk terus berkarya.

“Pertemuan kali ini memberikan inspirasi dan semangat baru kepada kami untuk terus hasilkan konten yang memberi hiburan serta nilai tambah kepada penonton.

“Insya-Allah, kalau diberi peluang satu hari nanti, kami mahu hasilkan konten untuk tayangan di layar perak pula. Doakan ya,” ujarnya lagi penuh harapan.

Kunjungan Sofyank dan pasukannya ke ibu negara China itu adalah bersempena acara pelancaran filem The Shadows Edge, yang turut dihadiri oleh beberapa nama besar industri hiburan Asia.

Terdahulu, nama Sofyank pernah tular dan meraih pujian antarabangsa apabila diberi peluang menjalani penggambaran video kesan khas (VFX) bersama bintang Hollywood, Tom Cruise bagi mempromosikan filem Mission: Impossible – Dead Reckoning Part One.

Related post

Leave a Reply