Shila Amzah Sambut 1 Syawal Di China

Penyanyi, Shila Amzah, 36, bakal mencipta kenangan baharu apabila menyambut 1 Syawal di luar negara bersama suami dan dua anaknya bersempena konsert yang akan berlangsung di China.
Pemilik nama lengkap Nurshahila Amir Amzah, mengakui dia kini berada dalam ‘panic mode’ memandangkan ini merupakan pengalaman pertama mereka sekeluarga beraya di perantauan.
“Ini pertama kali kami sekeluarga termasuk anak-anak akan beraya di Shanghai. Dua minggu ini saya habiskan masa bersama keluarga sebelum berangkat ke China.
“Doakan konsert saya berjalan lancar. Itulah, gementar juga bawa anak-anak,” katanya menerusi satu hantaran.
Dalam masa sama, isteri Ubai itu tetap teruja untuk mencipta pengalaman baharu sepanjang berada di sana, apatah lagi suaminya merancang untuk merakam vlog sepanjang perjalanan mereka.
Shila turut memaklumkan dia sudah membuat persiapan awal termasuk membawa beberapa pasang baju kurung serta kelengkapan raya untuk dipakai di perantauan.
“Baju raya memang bawa. Bila lagi nak ‘kami dari perantauan ingin mengucapkan, selamat’,” ujarnya berseloroh.
Terdahulu, Shila baru sahaja menjayakan konsert jelajah di beberapa bandar utama di China termasuk Chengdu, Guangzhou dan Nanjing, sekali gus mengukuhkan lagi namanya di peringkat antarabangsa.



