Sekali Lafaz, Fattah Amin Sah Suami Amira Othman

Sekali Lafaz, Fattah Amin Sah Suami Amira Othman

Dengan sekali lafaz, pelakon Fattah Amin sah bergelar suami kepada penyanyi, Amira Othman dalam sebuah majlis pernikahan indah yang berlangsung di Sepang, pada Ahad.

Pemilik nama lengkap Nadia Amira Othman, 32, menerima mas kahwin berupa seutas gelang emas, diiringi lima dulang hantaran dari pihak lelaki yang dibalas dengan tujuh dulang hantaran penuh makna dari pihak pengantin perempuan.

Dalam suasana penuh harmoni, Amira tampil mempesona dalam persalinan indah rekaan Teh Firdaus, manakala Fattah begitu tampan mengenakan busana hasil sentuhan duo pereka fesyen tersohor, Rizman Ruzaini.

Pasangan merpati dua sejoli ini dinikahkan oleh Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri, disaksikan oleh keluarga terdekat, saudara-mara dan sahabat rapat.

Antara rakan selebriti yang hadir ialah Nabila Razali, Alvin Chong, Bell Ngasri, Anzalna Nasir dan ramai lagi.

Suasana mesra dan harmoni yang menyelubungi majlis menjadi saksi penyatuan dua hati yang akhirnya bertaut dalam ikatan pernikahan setelah sekian lama menjadi tanda tanya peminat serta pemerhati dunia seni tanah air.

Untuk rekod, Fattah pernah mendirikan rumah tangga bersama aktres Fazura pada 27 November 2017, namun jodoh mereka tidak panjang apabila berpisah pada 7 Oktober tahun lalu.

Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang puteri, Nur Fatima Aisya, yang kini berusia lima tahun.

Kini, lembaran baharu terbuka buat Fattah dan Amira. Semoga rumah tangga yang dibina berlandaskan kasih sayang dan keimanan ini menjadi permulaan indah kepada sebuah perjalanan hidup bersama, penuh cinta dan keberkatan.

Related post

Leave a Reply