
Sebulan Berkahwin, Fattah Amin Sifatkan Amira Othman Penyayang – ‘Dia Isteri Syurga’
Genap sebulan melayari bahtera rumah tangga, pelakon Fattah Amin, 35, meluahkan rasa syukur dikurniakan seorang isteri penyayang dan sentiasa mengutamakan suami dalam setiap hal.
Menurut Fattah, isterinya iaitu penyanyi, Amira Othman memiliki keperibadian menenangkan dan disifatkan sebagai pelengkap hidup serta anugerah terindah dalam perkahwinannya.
“Amira sentiasa utamakan suami. Itu antara perkara yang buat saya rasa sangat istimewa tentang dia.
“Setiap keputusan, dia akan dahulukan saya, tanya pendapat, minta izin dan ambil tahu apa yang saya suka.
“Itu buat saya rasa dia sangat istimewa, dia isteri syurga,” katanya dalam satu perkongsian di TikTok.
Perkongsian pelakon drama Hero Seorang Cinderella itu tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya tersentuh dengan kejujuran dan kasih sayang yang dizahirkan.
Pasangan sama cantik sama padan ini disatukan dalam majlis pernikahan di sebuah resort di Sepang pada 14 September lalu.
Terdahulu, Fattah pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Fazura, namun perkahwinan mereka berakhir pada 7 Oktober 2024 selepas tujuh tahun bersama.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya, 5 tahun.