DramaTrending

‘Saya Umum Bersara Berlakon Drama Di Semua Stesen TV Malaysia’

Pelakon, Nur Fazura, 43, mengumumkan keputusan untuk bersara daripada membintangi sebarang drama terbitan semua stesen televisyen tempatan.

Menurut pemilik nama sebenar, Nur Fazura Sharifuddin, keputusan itu dibuat selepas menimbang pelbagai faktor, termasuk kekangan masa serta komitmen penggambaran drama yang lazimnya mengambil tempoh panjang.

“Sejujurnya, saya sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan, jadi saya bercakap dengan beralas. Buat masa ini, secara rasminya saya umum bersara daripada berlakon drama di semua stesen televisyen di Malaysia.

“Namun, saya masih terbuka untuk menerima tawaran filem, bergantung kepada projek sama ada di Malaysia atau Indonesia.

“Sebenarnya, saya tiada masa untuk terbabit dengan drama yang memerlukan komitmen penggambaran yang panjang,” katanya.

Dalam pada itu, Fazura turut menjelaskan keputusan berkenaan dibuat demi memberi tumpuan sepenuhnya kepada anak perempuannya, Nur Fatima Aisya yang kini berusia enam tahun.

“Fatima sangat rapat dengan saya dan dia juga mengalami separation anxiety. Dia tak boleh berjauhan dengan saya terlalu lama.

“Kalau saya keluar bekerja dalam tempoh yang panjang, dia memang akan cari saya. Kalau nak tidur pun, dia akan tunggu saya balik,” katanya lagi.

Walaupun mengumumkan persaraan daripada drama televisyen, Fazura bagaimanapun menyerahkan sepenuhnya perjalanan kerjaya seninya kepada ketentuan Tuhan.

“Ini memang satu keputusan besar dan saya tekad. Sekali lagi saya bercakap dengan beralas.

“Hari ini, secara rasminya saya mengumumkan bersara, namun kita tidak tahu ketentuan Allah pada masa hadapan,” ujarnya.

Berkongsi perkembangan kerjaya nyanyian pula, Fazura memaklumkan dia akan terus aktif berkarya sebagai penyanyi di bawah naungan Universal Music Malaysia.

“Dalam bidang muzik, masih ada beberapa perancangan termasuk daripada Universal Music Malaysia. Saya juga masih berminat untuk menghasilkan lagu.

“Sekarang saya sudah mula mengikuti kelas vokal. Sudah tentu saya bukan penyanyi profesional kerana minat utama saya tetap pada lakonan.

“Namun, minat terhadap muzik masih ada. Jika ada karya atau lagu yang menarik daripada penerbit, mudah-mudahan ada lagi selepas ini,” jelasnya.

Difahamkan, kali terakhir Fazura muncul di layar kaca menerusi drama Lelaki Itu yang ditayangkan dalam Slot Samarinda TV3 serta Andartu Kosmopolitan menerusi platform Viu pada tahun 2024.

Related Articles

Back to top button