
Pelakon, Kamal Adli, 40, berterima kasih kepada bekas isterinya, Uqasha Senrose kerana memberi peluang kepadanya bertemu anak perempuan mereka, Hawra Uqaira.
Menurut pemilik nama lengkap Ahmad Kamal Ahmad Adli, pertemuan bersama anak menjadi penawar kepada kekosongan jiwa yang dirasainya selepas melalui fasa perceraian.
“Buat masa sekarang, fikiran saya memang tengah kosong dan tak sangka kehidupan jadi begini. Tapi hari ini saya gembira sebab sempat bertemu dan meluangkan masa beberapa jam dengan Hawra sebelum acara Jakel. Sempatlah bermain dengan dia selepas lebih dua minggu tak berjumpa.
“Terima kasih juga kepada Uqasha sebab beri peluang saya luangkan masa dengan Hawra. Saya sangat gembira hari ini, cuma Hawra nampak macam kurang sihat berbanding selalu,” katanya.
Ditanya mengenai pembahagian masa untuk bertemu anak, Kamal berkata buat masa ini keutamaannya adalah meluangkan sebanyak mungkin masa bersama Hawra setiap kali berkesempatan.
Menurutnya, walaupun sibuk menjalani penggambaran filem di Pahang, bertemu anak tetap menjadi agenda utama setiap kali pulang ke ibu negara.
“Sekarang, setiap kali ada masa terluang dan turun ke Kuala Lumpur, memang saya akan terus jumpa anak.
“Esok pun saya akan jumpa anak lagi sebelum sambung penggambaran di Lumut, Perak pula.
“Saya rasa sekarang tiada isu untuk jumpa Hawra sebab ibu dia pun bekerja. Jadi, saya ambil peluang itu untuk jumpa dan jaga dia sekejap,” ujarnya lagi.
Tambah Kamal, dia masih belum berpeluang untuk bermalam bersama Hawra, namun pertemuan singkat itu sudah cukup membahagiakan hatinya.
“Buat masa ini, saya belum boleh bermalam dengan Hawra. Tapi dapat pegang, jumpa dan luangkan masa seperti hari ini pun sudah cukup seronok,” katanya lagi.
Sebelum ini, Kamal menerusi perkongsian di media sosial turut meluahkan rasa rindu yang mendalam terhadap Hawra selepas sekian lama tidak berpeluang bertemu anaknya itu.
Untuk rekod, Kamal dan Uqasha mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang sebelum sah bercerai talak satu pada 12 Januari lalu.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia setahun lapan bulan.



