TrendingUncategorizedViral

Rayuan Ditolak, Da’i Syed Dipenjara 10 Tahun & Tiga Sebatan

Pendakwah selebriti, Da’i Syed dihantar ke penjara pada Jumaat selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun serta tiga sebatan atas kesalahan merogol seorang wanita pada tahun 2019.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Adlin Abdul Majid selepas menolak rayuan terhadap sabitan dan hukuman yang sebelum ini dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen.

Dalam penghakimannya, Datuk Adlin memaklumkan bahawa mahkamah mendapati tiada kekhilafan dalam keputusan Hakim Mahkamah Sesyen, yang disifatkan berasaskan keterangan kukuh serta penilaian tepat terhadap keseluruhan kes pendakwaan dan pembelaan.

“Keterangan tertuduh hanya bersifat penafian semata-mata dan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Kesalahan ini adalah serius dan hukuman yang dijatuhkan adalah munasabah serta setimpal,” katanya.

Menurut Adlin lagi, tiada alasan khas untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman dan justeru hukuman penjara berkenaan berkuat kuasa bermula hari ini.

Terdahulu, peguam bela tertuduh, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff, memohon agar hukuman ditangguhkan atas alasan isteri Syed baru sahaja melahirkan anak, tiga bulan lalu dan bayi mereka masih kecil.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Maizatul Munirah Abdul Rahman, berhujah bahawa alasan tersebut tidak kukuh untuk melayakkan penangguhan hukuman memandangkan kesalahan dilakukan adalah amat serius serta memberi impak besar kepada mangsa.

Mahkamah kemudiannya menolak permohonan berkenaan dan memerintahkan hukuman dilaksanakan serta-merta.

Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful, 31, dilihat menangis ketika berada di kandang tertuduh sebaik sahaja keputusan mahkamah dibacakan.

Untuk rekod, Syed didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan atas pertuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7, Shah Alam pada jam 1.35 pagi, 11 September 2019.

Mahkamah Sesyen pada 30 Ogos tahun lalu menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan selepas mendapati tertuduh bersalah. Tertuduh bagaimanapun dilepaskan sementara bermula 20 September 2024 sehingga prosiding rayuan di Mahkamah Tinggi selesai.

Sebelum ini, pihak pembelaan mendakwa hubungan seksual tersebut berlaku atas persetujuan mangsa, namun pendakwaan menegaskan mangsa tidak pernah memberikan persetujuan terhadap perbuatan itu.

Related Articles

Back to top button