Qi Razali Umum Isteri Hamil 5 Bulan

Qi Razali Umum Isteri Hamil 5 Bulan

Pelakon, Qi Razali, 48, berkongsi khabar gembira apabila mengumumkan isterinya, Wardah Hayati kini sedang hamil lima bulan.

Pemilik nama sebenar Qushairi Mohammed Razali memaklumkan mereka dijangka menyambut kelahiran cahaya mata sulung pada Mac tahun hadapan.

“Tahun ini sangat baik buat saya kerana mendirikan rumah tangga, menang anugerah Pelakon Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) dan bakal menjadi bapa pula,” katanya.

Menurut Qi, usia kandungan isterinya kini sudah melepasi lima bulan dan ini merupakan kali pertama dia berkongsi perkara tersebut secara terbuka.

“Sudah masuk lima bulan lebih. Sebelum ini semua hanya teka-teka dan saya tidak pernah kongsikan.

“Insya-Allah, anak pertama ini dijangka lahir pada penghujung Mac nanti. Minta semua doakan semoga semuanya dipermudahkan,” ujarnya lagi.

Berkongsi mengenai keadaan Wardah sepanjang kehamilan, Qi berkata isterinya berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami alahan yang teruk.

“Alhamdulillah, keadaan isteri sangat baik. Cuma cepat penat sikit. Ada juga masa-masa dia teringin makan pancake dan minta pegang baju saya,” luahnya.

Untuk rekod, Qi Razali dan Wardah Hayati, 30, selamat disatukan sebagai suami isteri dalam sebuah majlis tertutup yang berlangsung di Gopeng, Perak pada 25 Mei lalu.

Related post

Leave a Reply