FilmLakon Layar

‘Perang Musuh Bisik’ Angkat Sejarah Perang Kedah-Siam

Setelah menerbitkan filem ‘Gayong’ yang ditayangkan di pawagam pada 8 Mei 2025 dan ‘Gayong 2’ yang bakal ke pawagam tidak lama lagi, SOL Pictures kini dalam proses pembangunan sebuah filem epik berskala besar bertajuk ‘Perang Musuh Bisik’.

Bagi anak jati negeri Kedah, peristiwa hitam perang Kedah-Siam bukan asing lagi dan tidak mungkin luntur dari minda dan hati nurani mereka biarpun ia telah berlalu hampir 200 tahun yang lalu. 

Impian untuk mengangkat sejarah perjuangan nenek moyang mereka ke layar perak sering menjadi topik perbualan dalam kalangan warga kelahiran negeri jelapang padi ini.

Malah, sering juga diperdebatkan agar sejarah pentingini menjadi sumber rujukan kepada generasi akan datang.

Melihat kepada perkembangan tersebut, syarikat SOL Pictures Sdn Bhd mengambil inisiatif untuk menghasilkan sebuah filem epik aksi berskala besar yang tidak hanya untuk tayangan tempatan, malah mampu menembusi pasaran antarabangsa.

Penerbit Eksekutif, Khairul Anuar Latip berkata, pembikinan filem berkenaan adalah sebagai usaha untuk mengangkat kisah bagaimana keluarga diraja negeri Kedah berjuang bersama-sama pahlawan serta seluruh rakyatnya untuk mempertahankan agama, bangsa dan tanah tumpah darah mereka ketika diserang mengejut oleh Siam pada awal abad ke-19.

“Filem Perang Musuh Bisik perlu diterbitkan untuk menjadi ingatan serta rujukan kepada generasi hari ini,seterusnya diwariskan kepada generasi anak cucu kita agar menghargai betapa maruah agama, bangsa dan tanah air wajib dipertahankan oleh semua peringkat tanpa toleransi.

“Kalau di barat, filem-filem blockbuster dijadikan platform perjuangan mereka dalam pelbagai aspek, kenapa kita yang berada dalam bidang ini tidak melakukan sesuatu untuk tujuan yang sama. Saya percaya dan yakin kita juga mampu melakukan” ujarnya.

Filem ini dijangka mampu menarik perhatian ramai pihak selain mempopularkan Kedah sebagai destinasi pelancongan.

Menurutnya, filem ini adalah sebuah projek berskala besar yang memerlukan kerjasama dan ‘technology-transfer’ dengan beberapa profesional filem luar negara. 

Jelasnya lagi, dengan penglibatan pengkaji dan ahli sejarah tempatan dalam pembangunan skrip bakal menjadikan kisah dalam filem ini tidak hanya sebagai tontonan hiburan, malah sebuah tatapan warisan budaya dan semangat jati diri kepada generasi akan datang.

“Menerusi perbincangan bersama beberapa pihak setakat ini, kami telah mendapat sokongan yang sangat positif untuk merealisasikan dan seterusnya mengangkat kisah ini ke persada dunia.” katanya.

Belum bersedia untuk berkongsi teraju utama filem epikini, Khairul Anuar berkata beberapa nama pelakon hebat tempatan telah disenaraikan, namum perbincangan terperinci belum dilaksanakan. 

Ujarnya, filem ini bakal menampilkan gabunganbeberapa pelakon antarabangsa termasuk beberapa pelakon berbakat dari negara jiran.

“Kita tidak mahu terburu-buru dalam penerbitan kisah sejarah sebegini. Ketelitian dalam semua aspek perlu diberi perhatian yang serius terutamanya di peringkat pembangunan pra-produksi. Ini untuk memastikan kelancaran proses penggambaran kelak”. tegasnya. 

Jelasnya, proses pembikinan filem berkenaan dijangka bakal mengambil masa sekitar 16 hingga 20 bulan untuk disiapkan sepenuhnya memandangkan hampir keseluruhan latar, kostum dan props perlu dibina semula. 

Menurutnya, filem ini juga melibatkan integrasi grafik effek visual dan penggunaan ‘virtual set’ bagi menterjemahkan babak-babak penting dengan lebih realistik.  

Khairul menjangkakan fasa penggambaran berperingkat akan mulakan pada awal suku keempat tahun 2026 di set perkampungan Kuala Kedah yang bakal dibangunkan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kedah. 

Set latar filem yang menempatkan pelbagai warisan abad ke-19 ini bakal dijadikan galeri ‘Perang Musuh Bisik’ yang juga akan dibuka untuk pelancong tempatan dan antarabangsa.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button