Lakon LayarViral

‘Penggiat Seni Perlu Beri Pelakon Peluang Untuk Berkembang’

Penerbit, Jaja Ishak terpanggil untuk mengulas isu membabitkan pelakon Mia Sara Nasuha yang mengakui kecewa apabila masih kerap ditawarkan watak kanak-kanak, sedangkan usianya kini sudah mencecah 21 tahun.

Menurut Jaja, sudah tiba masanya industri memberi ruang lebih luas kepada Mia untuk berkembang sebagai pelakon dewasa, selari dengan kematangan usia serta pengalamannya dalam dunia lakonan.

Jelasnya, permulaan Mia dalam industri sejak kecil sepatutnya dilihat sebagai kelebihan, bukannya faktor yang membataskan peluangnya membawa watak lebih mencabar.

“Sebagai penggiat seni, kita perlu sentiasa memberi peluang kepada pelakon untuk berkembang. Saya sendiri bersimpati dengan apa yang dilalui Mia. Tidak semua pelakon ada pengalaman bermula seawal usia kanak-kanak seperti dia.

“Namun apabila seseorang itu sudah meningkat dewasa, watak yang ditawarkan juga perlu seiring dengan perubahan tersebut.

“Pada pandangan saya, Mia cuma perlukan sedikit sokongan dan dorongan, terutamanya daripada pihak pengurusan, khusus dalam aspek promosi dan publisiti,” katanya.

Jaja berpendapat, imej Mia yang terlalu sinonim dengan watak kanak-kanak mungkin membuatkan segelintir pengarah dan penerbit terlepas pandang perubahan dirinya.

“Bila terlalu lama membawa watak yang sama, orang di luar industri akan ‘terperangkap’ dengan gambaran itu. Akhirnya mereka lupa bahawa pelakon tersebut sudah matang dan berubah.

“Perkara ini bukan sesuatu yang luar biasa. Ramai pelakon lain pernah menghadapinya. Lihat saja Syafie Naswip, bermula sebagai pelakon cilik, tetapi berjaya membina kerjaya yang konsisten hingga ke peringkat dewasa,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Jaja menegaskan kepentingan untuk aktif di media sosial sebagai platform untuk memperkenalkan semula diri kepada industri dan khalayak.

“Sekarang ini, media sosial memainkan peranan besar. Mia perlu kerap berkongsi perkembangan kerjayanya, sama ada dalam lakonan, peragaan atau apa sahaja yang berkaitan seni.

“Kadang-kadang apabila kita terlalu selesa, kita lupa untuk berkongsi apa yang sedang kita buat. Sedangkan dengan berkongsi, orang akan sentiasa sedar bahawa kita masih aktif dan relevan.

“Mungkin suatu hari nanti, ada pengarah atau penerbit yang melihat dan terdetik, ‘Oh, Mia ini sebenarnya sudah dewasa.’ Dari situ, watak yang sesuai mungkin muncul.

“Kalau dia memang layak untuk diangkat sebagai heroin atau watak utama, tidak ada sebab untuk menafikannya,” kata Jaja.

Dalam masa sama, Jaja turut menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan Mia pada masa akan datang sekiranya ada karakter yang bersesuaian.

“Sebagai penerbit, saya sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan pelakon berkualiti. Setakat ini belum ada rezeki atau peluang.

“Insya-Allah, pada masa akan datang, tidak mustahil Mia akan bersama produksi Jaja Ishak Channel,” katanya.

Related Articles

Back to top button