BeritaViral

Pengesahan Lafaz Taklik Beego & Linda Hashim Tangguh Lagi

Prosiding pengesahan lafaz taklik membabitkan pasangan selebriti, Linda Hashim dan Beego sekali lagi ditangguhkan ke 9 April depan pada jam 12 tengah hari.

Peguam mewakili Beego, Muhammad Akmal Amzan, memaklumkan perbicaraan tidak dapat diteruskan hari ini berikutan anak guamnya baru memfailkan wakalah peguam serta pembelaan berkaitan dakwaan lafaz taklik, selain berdepan beberapa masalah teknikal.

Menurut Muhammad Akmal, Beego menafikan berlakunya lafaz taklik, justeru perkara tersebut perlu dibicarakan bagi mendapatkan pengesahan rasmi daripada mahkamah.

Sementara itu, Beego yang ditemui di perkarangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan menjelaskan, dia tidak menafikan wujud lafaz taklik, namun terdapat kekeliruan yang menyebabkan kes berkenaan berlarutan sehingga kini.

Menjawab dakwaan sengaja melengah-lengahkan proses perceraian, Beego menegaskan dia hanya mematuhi prosedur mahkamah yang ditetapkan dan tidak berniat memanjangkan kes yang telah berlarutan lebih setahun.

Katanya, isu lafaz taklik mula dibangkitkan ketika proses Jawatankuasa Pendamai, sekali gus memerlukan perkara itu difailkan di mahkamah sebelum sebarang keputusan boleh dibuat.

Dalam masa sama, bekas anggota kumpulan Phyne Ballerz itu mengakui masih berhasrat mempertahankan rumah tangga yang dibina dan menganggap apa yang berlaku sebagai ujian daripada Allah SWT.

Bagaimanapun, Beego berkata dia reda sekiranya mahkamah memutuskan lafaz taklik itu benar berlaku, sambil menegaskan niatnya sebelum ini adalah untuk memperbaiki keadaan rumah tangga.

Untuk rekod, Linda memfailkan perceraian sejak Januari tahun lalu atas alasan sudah tiada persefahaman selepas pasangan itu beberapa kali berpisah dan rujuk sejak berkahwin pada Jun 2013.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 12; Anggun Cassandra, 11; dan Indah Camelia, 7.

Related Articles

Back to top button