
Peminat Teruja Siti Nurhaliza Kembali Ke Jakarta
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza kembali menghangatkan pentas muzik Indonesia apabila tampil sebagai salah seorang artis di festival muzik Pestapora 2025 yang berlangsung di Jiexpo, Jakarta.
Siti, 46, tidak dapat menyembunyikan rasa terharu apabila disambut meriah ribuan penonton setelah beberapa tahun tidak membuat persembahan berskala besar di negara jiran itu.
“Alhamdulillah, impian saya untuk kembali bertemu peminat di Indonesia akhirnya tercapai. Saya sangat menghargai jemputan penganjur Pestapora, sekaligus memberi peluang untuk mengubat rindu bersama anda semua.
“Bukan sahaja peminat, bahkan artis-artis tempatan juga memberikan sokongan yang membuat saya rasa benar-benar dihargai di sini. Saya bawa salam peluk cium dari Malaysia buat kalian,” katanya.
Menurut pelantun Kurik Kundi itu, senarai lagu dipilih khas untuk mengembalikan kenangan era kegemilangannya di Indonesia.
“Saya tahu ramai yang hadir membesar dengan lagu-lagu saya, ada juga yang diperkenalkan oleh ibu bapa mereka sejak kecil. Jadi malam ini, saya mahu kita sama-sama bernostalgia dengan karya-karya lama yang masih segar di hati,” jelasnya seperti dilaporkan Kosmo.
Siti membawakan 11 lagu popular termasuk Cindai, Nirmala, Biarlah Rahsia, Badarsila, Betapa Aku Cinta Padamu serta Wajah Kekasih.
Siti turut mempersembahkan Bukan Cinta Biasa, Pastikan dan Menamakanmu Cinta dengan iringan gitar komposer terkenal Indonesia, Ade Govinda.
Tidak ketinggalan, Siti menghiburkan penonton dengan lagu malar segar Malaysia yang turut popular di Indonesia seperti Tiara dan Gerimis Mengundang.
Kemuncak persembahan tercipta apabila penyanyi tersohor Indonesia, Afgan, naik ke pentas untuk berduet bersamanya dalam lagu Bukan Cinta Biasa, sekali gus mencetuskan sorakan gemuruh.
Hampir setiap lagu yang didendangkan mendapat sambutan hangat, membuktikan kehebatan Siti masih utuh di hati peminat Indonesia.
Sebelum menutup tirai, Siti sempat berjanji akan kembali ke Indonesia dengan sebuah konsert penuh khas buat peminat setianya.
Untuk rekod, penampilan terakhir Siti di sana adalah pada Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour di Istora Senayan pada 2019.