
Pelakon, Zarif Ghazzi, 22, mengakui berasa kurang selesa dengan sikap segelintir peminat yang disifatkan terlalu obses sehingga sanggup menghubungi ahli keluarganya secara peribadi.
Menurut Zarif, meskipun menghargai setiap sokongan serta minat yang diberikan peminat terhadap kerjayanya dalam industri seni, keterujaan tersebut seharusnya mempunyai batas dan tidak menceroboh ruang peribadi, apatah lagi melibatkan keselamatan keluarga.
“Untuk meminati seseorang itu tidak menjadi masalah dan saya sangat menghargainya. Namun, kalau boleh jangan sampai terlalu peribadi. Ada peminat yang menghantar mesej dan DM kepada ahli keluarga saya, termasuk ibu.
“Saya sendiri terkejut kerana tidak tahu bagaimana mereka memperoleh nombor telefon ibu saya sehingga sanggup menghantar mesej melalui WhatsApp,” katanya.
Pelakon asal Johor itu menjelaskan, sebagai seorang artis, dia memahami bahawa perhatian peminat merupakan sebahagian daripada kerjayanya. Namun, keadaan menjadi berbeza apabila ia melibatkan kehidupan peribadi di luar waktu bekerja.
“Ini adalah pekerjaan saya sebagai pelakon. Tetapi apabila saya berehat dan tidak bekerja, saya berharap peminat tidak sampai menjejaki rumah atau mencampuri urusan peribadi lain.
“Alhamdulillah, setakat ini peminat masih tidak mengetahui lokasi kediaman saya termasuk kampung halaman. Saya memang kurang selesa kerana keluarga tidak sepatutnya terlibat,” ujarnya lagi.
Tambah pelakon drama Seribu Tahun itu, isu berkenaan juga berkait rapat dengan aspek keselamatan dirinya dan keluarga.
“Bagi saya, ini soal keselamatan. Dunia seni adalah dunia saya, tetapi keluarga adalah perkara yang saya lindungi daripada orang luar,” katanya.
Sehubungan itu, Zarif menasihatkan peminat agar terus memberikan sokongan terhadap kerjayanya secara berhemah serta menghormati batas privasi yang sepatutnya.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua peminat yang menyokong saya dari dulu hingga kini. Lakonan adalah pekerjaan saya, namun di luar itu saya juga manusia biasa.
“Saya berharap peminat dapat menghormati privasi saya. Saya melayan semua peminat dengan baik, tetapi perlu ada batas antara seorang pelakon dan peminatnya,” pesannya.



