Park Bo Gum Dilantik Duta Kehormat Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon

Park Bo Gum Dilantik Duta Kehormat Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon

Pelakon terkenal Korea Selatan, Park Bo Gum dilantik sebagai duta kehormat Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Perbadanan Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon (IIAC) menerusi satu kenyataan pada 16 September lalu.

“Park Bo Gum kini menjadi wajah baharu yang mewakili Lapangan Terbang Incheon dan akan berperanan aktif sebagai duta kehormat,” tulis kenyataan berkenaan.

Bo Gum menghadiri majlis pelantikan yang berlangsung pada 15 September di auditorium IIAC, di mana Presiden Lee Hak Jae menyampaikan sijil pelantikan rasmi kepadanya.

Presiden Hak Jae berkata, Bo Gum dilantik menjadi duta kehormat lapangan terbang berkenaan disebabkan karisma serta kepribadiannya sebagai seorang selebriti.

“Adalah satu penghormatan untuk melantik Park Bo Gum, seorang selebriti yang dikagumi kerana bakat lakonannya, karisma serta peribadi, sebagai duta kami.

“Kami menjangkakan beliau akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan nilai jenama Lapangan Terbang Incheon di peringkat domestik dan antarabangsa, serta mengukuhkan komunikasi dengan orang ramai,” ujar beliau.

Sebagai duta kehormat, Bo Gum akan terlibat dalam pelbagai aktiviti selama tiga tahun mendatang untuk mempromosikan Lapangan Terbang Incheon di seluruh dunia.

Pihak lapangan terbang juga merancang untuk mengetengahkan perkhidmatan pintar, kemudahan mesra pengguna serta projek inovasi utama yang sedang dijalankan.

Sebelum ini, jawatan duta kehormat pernah disandang oleh tokoh-tokoh terkenal termasuk penyanyi soprano Sumi Jo, bekas juara luncur ais Kim Yuna, bekas pemain bola tampar Kim Yeong Koung dan kumpulan K-pop Aespa.

Sumber: Allkpop

Related post

Leave a Reply