
Penyanyi, Datuk Nora Ariffin, 51, menarik semula permohonan cerai yang difailkan terhadap suaminya, Dr Rusydi Ramli dan memilih untuk meneruskan bahtera perkahwinan mereka.
Menurut peguam syarie yang mewakili Dr Rusydi iaitu Azmi Mohd Rais, keputusan penarikan semula permohonan tersebut telah diputuskan oleh Hakim Ahmad Faizul Ashar selepas bersetuju dengan syarat yang dikemukakan oleh Nora.
“Alhamdulillah, pada hari ini (Selasa) plaintif, Nora telah menarik balik kes ini dan ingin meneruskan perkahwinan dengan defendan.
“Sebelum permohonan penarikan balik dibuat, beliau memohon agar penarikan tersebut dibuat secara bersyarat, iaitu tidak ada sebarang gangguan daripada pihak ketiga,” katanya.
Menurut Azmi, mahkamah turut memaklumkan Nora mempunyai hak untuk memfailkan injunksi tegah ganggu terhadap mana-mana pihak ketiga, selain memfailkan kes gangguan (nuisance) di mahkamah sivil sekiranya perlu.
Dalam pada itu, Azmi memaklumkan keputusan tersebut disambut dengan penuh kesyukuran oleh pihak defendan.
“Bagi pihak defendan pula, beliau sangat bahagia pada hari ini. Alhamdulillah. Dan beliau juga telah berjanji akan menasihati pihak ketiga tersebut.
“Kes ini ditarik balik tanpa sebarang kos. Alhamdulillah. Oleh itu, tidak perlu kepada pelantikan hakam panel pada hari ini,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Dr Rusydi meluahkan rasa syukur atas keputusan isterinya dan menyifatkan ia sebagai satu peluang untuk memperbaiki rumah tangga mereka.
“Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT. Sebenarnya saya tidak mahu mengulas panjang. Apa pun, itulah yang saya harapkan. Saya harapkan yang terbaik. Alhamdulillah, Nora bersedia untuk menarik balik kes ini,” katanya.
Dr Rusydi turut memberi jaminan akan mematuhi segala syarat yang telah ditetapkan oleh mahkamah.
“Insya-Allah, saya akan melaksanakan syarat-syarat yang telah disebutkan. Kita kena berusaha dan mengambil langkah yang sepatutnya. Sebagai seorang suami, kita adalah ketua kepada keluarga.
“Selepas ini saya akan lebih bertegas. Sebenarnya selama ini pun saya sudah bertegas, cuma mungkin selepas ini perlu lebih tegas lagi dan menjelaskan bahawa saya tidak mahu ada sebarang gangguan daripada sesiapa pun. Itu adalah tuntutan agama dan perintah Allah SWT,” ujarnya.
Terdahulu, Nora bersetuju menarik semula permohonan cerai yang difailkan terhadap Dr Rusydi dengan syarat tiada lagi gangguan daripada pihak ketiga dalam rumah tangga mereka.
Imbas kembali, krisis rumah tangga pasangan ini mula menjadi perhatian ramai sejak 12 Ogos 2024 apabila Nora memuat naik sebuah video di Instagram yang memaparkan suaminya melafazkan cerai, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dan spekulasi.
Susulan itu, pelbagai dakwaan dan spekulasi tercetus sehingga mendorong Nora memfailkan tuntutan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada 21 April tahun lalu.
Untuk rekod, pada penghujung 2021, Nora mengesahkan beliau telah bergelar isteri kepada Dr Rusydi yang juga merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Fiqh dan Usul di sebuah universiti di ibu negara.
Sebelum itu, Nora pernah mendirikan rumah tangga bersama komposer terkenal, Allahyarham Johan Nawawi pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata. Bagaimanapun, Allahyarham Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung.



