
Penyanyi dan pelakon, Amira Othman, 34, akhirnya tampil menjelaskan keadaan kesihatannya selepas dimasukkan ke sebuah pusat perubatan baru-baru ini.
Pemilik nama lengkap Amira Nadia Othamn mengakui dirinya mudah jatuh sakit dan ditahan di wad sebelum ini adalah akibat masalah bronkitis.
“Alhamdulillah, sekarang dah beransur sihat tapi ada lagi yang belum pulih sepenuhnya.
“Saya sebenarnya ditahan wad disebabkan bronkitis. Ikutkan dah kali kedua saya kena,” katanya.
Menurut Amira, faktor persekitaran serta jadual kerja yang memerlukannya berada di luar hampir setiap hari membuatkannya lebih sensitif dan mudah terkena jangkitan.
“Saya sedikit sensitif la. Yela, kita tak tahu keadaan sekeliling macam mana. Kita pun keluar hari-hari, benda pun nak jadi. Alhamdulillah, dah beransur pulih cuma batuk saja la lambat sikit nak baik.
“Waktu itu saya sukar untuk bernafas. Kebetulan waktu itu saya ada shooting, jadi saya ke hospital untuk dapatkan rawatan.
“Tapi disebabkan keadaan tidak mengizinkan, doktor pun nasihatkan saya untuk tidak pergi luahnya,” jelasnya.
Ketika ditanya mengenai spekulasi bahawa keadaan kesihatannya itu mungkin petanda awal kehamilan, Amira memilih untuk tidak mengulas panjang, sebaliknya memohon doa yang baik-baik.
“Saya mohon doa yang baik-baik. Kalau ada rezeki, ada berita baik, sesuai pada waktunya saya kongsikan. Saya masuk hospital memang sebab bronkitis.
“Saya ini dari zaman anak dara pun ada macam-macam spekulasi. Tapi saya harap doa yang baik-baik daripada kalian,” luah penyanyi itu.
Isteri kepada aktor Fattah Amin itu turut menyifatkan soalan mengenai zuriat sebagai perkara biasa, terutama untuk pasangan yang baru mendirikan rumah tangga.
“Benda baik kita aminkan. Belum kahwin orang tanya bila nak kahwin. Dah kahwin, tanya bila nak ada anak. Dah ada anak pertama, tanya bila nak anak kedua.
“Saya rasa itu lumrah la. Tak ada apa yang saya harus ambil hati. Mudah-mudahan doa itu Allah kabulkan,” kongsinya lagi.



